Israel serang makmal Covid-19 di Gaza


Serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza memusnahkan makmal Covid-19 dan Pejabat Bulan Sabit Merah Qatar di wilayah itu. – Gambar AFP, 18 Mei, 2021.

SATU-satunya makmal Covid-19 Palestin di Semenanjung Gaza kini tidak lagi berupaya menjalankan ujian saringan susulan serangan udara Israel semalam, kata pihak berkuasa tempatan.

Selain separuh bangunan klinik Al-Rimal musnah, Kementerian Kesihatan di wilayah itu dan Pejabat Bulan Sabit Merah Qatar juga terkena serangan. 

Serangan menyebabkan beberapa kakitangan perubatan kementerian cedera parah, kata Timbalan Menteri Kesihatan Yousef Abu Al-Rish kepada pemberita.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Ashraf Qidra pula berkata serangan Israel itu bertujuan untuk melemahkan usaha menangani pandemik Covid-19.

“Serangan menyebabkan ujian saringan di makmal utama terhenti,” katanya.

Pihak berkuasa Gaza menjalankan ujian saringan ke atas hampir 1,600 orang setiap hari sebelum serangan memuncak sejak seminggu yang lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata sebanyak 103,000 kes Covid-19 dilaporkan di Gaza, dengan lebih 930 kes kematian.

Setakat ini kawasan dengan kepadatan 2 juta penduduk itu sudah menerima 122,000 dos vaksin, kata WHO. Separuh penduduk di Semenanjung Gaza belum disuntik vaksin Covid-19. – AFP, 18 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen