Pelancongan Pulau Pinang perlu pelan vaksin Covid-19, kata persatuan


Raevathi Supramaniam

Pemandu pelancong di Pulau Pinang mahu program vaksinasi dimasukkan di dalam Pelan Induk Pelancongan kerana ia penting bagi sektor pelancongan di negeri berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2021.

PELAN Induk Pelancongan Pulau Pinang (PGTMP) 2021-2030 gagal memasukkan pelan vaksinasi Covid-19 untuk pekerja di salah satu sektor berpendapatan tinggi negeri, kata Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang.

Pelan itu yang dilancarkan pada 8 Mei selepas beberapa kali ditunda tidak cukup komprehensif dan ketinggalan kerana vaksinasi ketika ini merupakan isu paling penting bagi mereka yang bekerja di sektor pelancongan, kata pengerusi persatuan Chin Poh Chin.

“Pelan itu tidak mencerminkan keadaan industri pelancongan ketika ini dan melengahkan langkah terpenting iaitu memberi vaksin kepada pengusaha pelancongan di pulau ini.

“Tidak ada gunanya memiliki rancangan untuk meminta (pelancong) datang jika tidak memberi vaksin kepada pengusaha pelancongan terlebih dahulu.

“Sebagai pemandu pelancong, jika saya tidak divaksin, pelancong tidak akan mahu saya mengetuai lawatan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau memberi maklum terhadap PGTMP yang bertujuan meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama untuk 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin bagaimanapun berkata bahawa tidak munasabah mengharapkan PGTMP menjalankan proses vaksinasi yang diuruskan secara berasingan oleh kerajaan pusat.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan pelaksanaannya dijalankan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Secara struktural dan organisasi, PGTMP dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak boleh digabungkan dalam paradigma yang sama. Mereka mempunyai hubungan hingga tahap tertentu tetapi ditadbir secara bebas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Yeoh berkata oleh kerana program imunisasi berada di bawah bidang kuasa JKJAV, PGTMP tidak dapat menerangkan mengenai vaksinasi untuk pekerja pelancongan.

“Rancangan 10 tahun itu mempertimbangkan cabaran pandemik dan unjuran dibuat berdasarkan dorongan vaksinasi kebangsaan.

“Kita sudah mempertimbangkan halangan yang disebabkan oleh pandemik dan selanjutnya menganggap bahawa kemajuan dalan vaksinasi mendorong secara global dan nasional, khususnya ramalan jadual program imunisasi nasional pada Februari 2022, dalam meramalkan dan merancang prestasi pelancongan kita.

Yeoh menambah bab pelan bertajuk “Mitigating Basters, Sustaining Future Tourism” membincangkan rancangan tindakan pemulihan untuk pelancongan negeri.

Kerana Covid-19, PGTMP akan memberi tumpuan kepada pelancongan domestik.

Ini juga merupakan pelan yang fleksibel yang akan disesuaikan oleh kerajaan negeri dengan masalah yang timbul dari wabak itu, tambahnya.

“Kita juga berpaksikan pada PGTMP untuk fokus kepada pelancongan domestik dalam beberapa tahun ke depan sebelum menempatkan Pulau Pinang untuk pasaran global selepas 2023.

“Pulau Pinang akan membuat perubahan untuk menyesuaikan trend mendatang berdasarkan kelayakan dan kesesuaian yang pada tahap ini sudah tentu mempertimbangkan pandemik Covid-19,” katanya. – 18 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen