Khairy kuarantin di rumah selepas jadi kontak rapat kes Covid-19


Khairy Jamaluddin ketika mengunjungi WTCKL, pusat vaksinasi terbesar di negara ini vaksin AstraZeneca Covid-19 pada hujung minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2021.

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin perlu menjalani kuarantin di rumah selepas mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Menerusi Twitternya, Khairy berkata beliau menerima arahan daripada Kementerian Kesihatan untuk dikuarantin selama 10 hari.

“Sudah lakukan ujian PCR dan hasil keputusan adalah negatif.

“Akan kemas kini sekiranya status berubah memandangkan saya menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada hujung minggu,” tulisnya di Twitter.

Pada hujung minggu, Khairy mengunjungi WTCKL, pusat vaksinasi vaksin AstraZeneca Covid-19. 

Pada sidang media mingguannya mengenai program imunisasi kebangsaan pagi tadi, Khairy dilihat memakai gelang tangan berwarna merah jambu menunjukkan beliau berada di bawah kuarantin.

Gelang berkenaan menunjukkan tempoh kuarantin dari 15 sehingga 24 Mei.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini tidak ada tanda-tanda kluster Covid-19 tercetus di WTCKL walaupun siasatan sedang dilakukan.

Khairy sudah menyelesaikan vaksinasi Covid-19. Beliau menerima dos kedua vaksin Sinovac pada 8 April di Hospital Rembau, Negeri Sembilan. – 17 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen