KES jangkitan baharu Covid-19 sekali lagi merekodkan lebih 4,000 kes hari ini, dengan Selangor mendahului kes tertinggi untuk 25 hari berturut-turut dan mencatatkan 1,650 kes baharu.
Jumlah kes seluruh negara 4,446 dalam tempoh 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter.
Terdahulu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) sepenuhnya akan dilaksanakan di Selangor jika kenaikan kes Covid-19 tidak dapat dikekang lagi.
Selepas Selangor, Sarawak melaporkan kes kedua tertinggi dnegan 433 kes, diikuti oleh Johor dengan 391 kes.
Hanya Perlis dan Labuan yang tidak merekodkan sebarang kes hari ini.
Ketua pengarah kesihatan berkata daripada kes baharu yang direkodkan hari ini, hanya tiga melibatkan kes import (kesemua warga Malaysia), manakala 4,443 adalah penularan tempatan.
Menurutnya daripada jumlah penularan tempatan, 4,230 melibatkan warga Malaysia dan 213 warga asing.
Noor Hisham berkata 2,784 pesakit didiscaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 429,103.
Jumlah kes aktif kini 43,506, yang mana 522 dimasukkan ke unit rawatan rapi dan 273 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Selain itu, Noor Hisham berkata 45 kematian direkodkan hari ini. – 17 Mei, 2021.
Komen