Pusingan dua vaksin AstraZeneca utamakan warga emas, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pendaftaran bagi 1.1 juta dos AstraZeneca akan dikhususkan bagi warga emas untuk tiga hari pertama mulai 23 Mei ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2021.

TEMPAHAN fasa kedua suntikan vaksin AstraZeneca akan mengutamakan golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata pendaftaran bagi 1.1 juta dos AstraZeneca akan dikhususkan bagi warga emas untuk tiga hari pertama mulai 23 hingga 26 Mei ini, kemudian kepada individu dalam senarai menunggu pusingan pertama.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web dan juga klinik kesihatan komuniti, katanya.

“Bukan semua kita akan buat dalam talian, kita akan mengkhususkan satu kuota untuk pejabat-pejabat kesihatan daerah menawarkan AstraZeneca kepada warga emas.

“Sekiranya pada 26 Mei masih terdapat janji temu yang tidak diisi dalam pusingan kedua AstraZeneca, kita akan buka kepada orang ramai berusia bawah 60 tahun, tetapi dari 23 hingga 26 Mei yang hanya layak untuk mendapatkan janji temu dalam laman web adalah warga emas sahaja.

“Cuma pengecualian kita beri kepada mereka yang sudah ada dalam senarai menunggu pusingan pertama, mereka akan diberi slot janji temu,” katanya pada sidang media secara maya di Facebook.

Tambah beliau, seramai 25,000 individu berada dalam senarai menunggu pusingan pertama vaksin AstraZeneca.

Khairy, yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi, berkata warga emas diberi keutamaan kerana golongan terbabit sangat mudah terdedah kepada jangkitan Covid-19, selain untuk mempercepatkan program pemberian vaksin.

Suntikan vaksin AstraZeneca juga akan ditawar kepada pusat jagaan orang tua.

Selain itu, Khairy berkata pusingan kedua vaksin tersebut akan diperluaskan ke Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, yang kini berada di bawah di zon merah Covid-19. – 17 Mei, 2021.   

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen