Apabila mat rempit pasang kain rentang


DARI laporan beberapa portal  berita saya telah membaca berita tentang sekumpulan mat rempit ‘mengamuk’. Ini berlaku pada malam raya tahun 2021 ketika Malaysia dalam PKP 3.0, ketika wabak virus Covid-19 sedang mengganas.

Babak ini berlaku di Parit Raja, Batu Pahat. Berita telah melaporkan bagaimana mat rempit  telah menaikkan kain rentang bertulis “Kerajaan Gagal” di jambatan yang melintasi jalan raya. 

Jelas  langkah mat rempit ini ialah untuk memperlihatkan kain rentang ini kepada sebanyak mungkin orang ramai. Jika mata dan hati orang ramai bukan sasaran pasti kain rentang ini akan dipasang dalam kelambu. Hebat.

Seperti biasa, di Malaysia kita ini dari zaman kerajaan United Malays National Organisation (Umno) hingga ke kerajaan Bersatu sekarang  ini, jawapan terhadap kain rentang itu sama. Mat rempit dan anak-anak muda ini ditahan oleh mata-mata dan dibawa ke rumah pasung. Amin.

Kalau saya Muhyiddin Yassin, kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainuddin, saya  akan cuba memahami tanda dan makna daripada apa yang sedang disampaikan oleh mat rempit ini.

Mata-mata menangkap dan memasukkan mat rempit ini ke dalam rumah pasung kemudian didakwa hanyalah menelan panadol untuk menghilangkan sakit kepala.

Menangkap mat rempit ini hanya suntikan insulin untuk melawan kenaikan gula dalam badan. Kita semua tahu peranan panadol. Kita semua sedar akan peranan suntikan insulin.

Sakit kepala itu masih wujud. Kencing manis tetap wujud. Malah makin membara dan membarah. Silap hari bulan kaki akan dipotong.

Apa jadi?

Justeru, kalau saya Muhyiddin, kalau saya Azmin dan kalau saya Hamzah, pada pagi raya – sesudah makan lemang dan rendang – saya akan mula melihat dan cuba memahami apa sebenarnya telah berlaku. Amin.

Apabila mat rempit menaikkan kain rentang – ini sudah berat.

Saya cukup sedar bagaimana masyarakat memahami dan melihat kelompok yang dipanggil mat rempit. Mat rempit sentiasa diperlekeh – mereka dipandang rendah – kelas terkebawah. Kelas tercorot. Menjadi tempat membuang kemarahan kepada pemandu kereta di jalan raya.

Masyarakat kelas menengah – dari Bangsar dan Taman Tun – menganggap mat rempit ini ‘sampah masyarakat’. Motor kapcai mat rempit bukan sahaja bising malah mengganggu perjalanan luncur Mercedes atau BMW mereka.

Masyarakat soh seh soh seh yang bercakap dalam Bahasa Inggeris menganggap mat rempit ini sebagai ‘pest and nuisance’ sama seperti lipas dan tikus yang wajib dibasmi.

Pak Lebai, para ustaz dan ulama YouTube menganggap mat rempit sebagai kumpulan sesat kerana tidak mahu tunduk mengikut ajaran budaya Arab yang melarang lelaki dan perempuan – jantan dan betina – yang bukan abang dan kakak bercampur bebas untuk enjoy de menjoy.

Mat rempit dan minah rempit melaram dengan motosikal mereka. Minah rempit a.k.a Chikaro membonceng atas kapcai menjadi piala rebutan untuk dinikmati. Mereka mengancam budaya Arab.

Justeru kalau saya Muhyiddin, kalau saya Azmin dan kalau saya Hamzah, sesudah memakan ketupat dan lemang, saya akan mencari buku untuk dibaca dan agar dapat memahami apa itu politik, apa itu persepsi dan apa itu manifestasi.

Kalau saya Muhyidin, kalau saya Azmin dan kalau saya Hamzah, saya juga  akan mencari buku untuk memahami apa itu kontradiksi. Untuk memahami apa kontradiksi  besar atau pertentangan besar dan apa itu kontradiksi kecil atau pertentangan kecil.

Kalau saya Muhyidin, kalau saya Azmin dan kalau saya Hamzah, saya  juga akan menelaah kitab klasik Marxisme untuk memahami kontradiksi. Membaca buku genre Marxisme pada tahun 2021 bukan lagi satu kesalahan. Lagi pun menteri di Malaysia ini mustahil akan ‘diusik’ oleh pihak berwajib.

Apabila mat rempit menaikkan kain rentang – ini sudah berat. Apakah persepsi mat rempit terhadap kerajaan hingga mereka menaikan kain rentang “Kerajaan Gagal”?

Awal wahid untuk memahami apa mat rempit lakukan di Parit Raja, kita wajib memahami apa itu persepsi.

Persepsi bermakna orang ramai memahami sesuatu perkara melalui pendengaran, melalui penglihatan atau memahami melalui perasaan. Persepsi ialah pemahaman, anggapan dan andaian. Persepsi  tidak ilmiah. Tidak saintifik. Mustahil dapat diuji dalam bilik makmal.

Politikus bekerja siang dan malam untuk mewujudkan persepsi. Anwar Ibrahim menjadi imam membaca khutbah. Muhyiddin membaca doa. Azmin menyapu masjid di Mekah. Najib memberi salam pada kubur nabi. 

Semua  perbuatan dan kelakuan ini dirancang untuk melahirkan persepsi. Semua ini dirancang dengan niat untuk memperlihat kepada bakal pengundi, kepada penyokong  dan kepada rakyat betapa zuhud alim warak dan syumul sosok-sosok politikus ini.

Politikus sama seperti iklan ubat gigi akan berdiri memakai baju putih dengan stetoskop tergantung di leher. Doktor dan jururawat memakai serba putih. Politikus Melayu memakai ketayap, serban dan kopiah – untuk melahirkan persepsi alim, warak, syumul, suci lagi bersih.

Antara persepsi dan fakta

Mat rempit menaikkan kain rentang dengan tulisan “Kerajaan Gagal” ini persepsi apa pulak ?

Mat rempit kelas tercorot – kumpulan paling tak ambil pot tentang politik negara – kini telah memiliki persepsi – kerajaan gagal. Ini amat berat.

Kerajaan gagal ini bukan persepsi atau fitnah politik Hishamuddin Rais. Saya hanya melakarkan apa yang saya lihat. Saya melihat gambar kain rentang bertulis “Kerajaan Gagal”. Gambar ini saya lihat dalam portal berita.

Yang saya lihat bukan persepsi. Apa yang saya lihat dan baca ialah fakta. Fakta bukan persepsi.

Jika saya Muhyiddin, jika saya Azmin dan jika saya Hamzah, saya akan bertanya kepada diri saya sendiri: Kenapa mat rempit yang lekeh kini memiliki persepsi kerajaan gagal?

Pelik binti hairan kenapa dan bagaimana mat rempit ini telah memilik persepsi. Persepsi ini adalah persepsi politik. Persepsi politik tinggi seperti ini keluar dari mulut warga Bangsar atau  Taman Tun. Bukan dari mat rempit – anggota masyarakat yang paling corot yang tidak  mengambil tahu hal ehwal politik negara.

Malah apabila sekumpulan mat rempit ditanya hal ehwal politik, jawapan akan memeranjatkan. Siapa perdana menteri sekarang? Besar kemungkinan ramai mat Rempit akan menjawab Dr Mahathir Mohamad.  

Jangan ketawa. Ini jawapan mat rempit bukan jawapan ahli Majlis Profesor.

Dari mana asal usul persepsi mat rempit ini?

Manifestasi

Apabila soalan dari mana persepsi datang, maka akan lahir satu lagi perkataan. Perkataan ini ialah manifestasi.

Manifestasi ini apa?  Manifestasi ini telefon keluaran baru dari Korea ke? Ada berapa lubang kamera? Jika ada sesiapa yang bertanya sedemikian maka inilah contoh pertanyaan dari mat rempit.

Persepsi lahir dari manifestasi. Manifestasi ialah perkara yang sedang berlaku. Manifestasi adalah perkara yang kita lihat sedang terpampang di mata kita. Contoh: Ramai orang memakai topeng muka. Ini adalah manifestasi daripada serangan Covid-19.

Contohnya: Apabila Ahmad kahwin dengan Aminah, lima bulan kemudian Aminah mengandung. Mengandung ini ialah manifestasi daripada perkahwinan Ahmad dan Aminah.

Manifestasi ini adalah perkara yang berlaku. Ia terjadi disebabkan oleh sesuatu. Ada sebab musabab. Ada sebab ada akibat. Ada penyebab. Aminah mengandung sebab Aminah telah ditiduri oleh Ahmad. Benih Ahmad telah masuk ke dalam perut Aminah. Mengandung itu adalah  manifestasi daripada perkahwinan. Khalas.

Apa yang kita lihat sedang berlaku dan terjadi di sekeliling kita semuanya adalah manifestasi daripada sesuatu. Pokok bergoyang kerana tiupan angin atau kerana tupai. Tupai meloncat kerana lari daripada ular. Ular mengejar tupai kerana lapar nak makan. Dan, dan, dan.

Semua ada sebab dan akibat. Pokok bergoyang adalah manifestasi. Penyebabnya angin atau tupai.

Tidak ada satu pun perkara di dunia ini yang berlaku tanpa sebab tanpa penyebab. Sebab dan penyebab ini adalah hukum alam yang azali. Amin.

Apa sebab?

Justeru jika saya Muhyiddin, jika saya Azmin dan jika saya Hamzah, maka saya akan cuba mencari apa sebab musabab mat rempit menaikkan kain rentang “Kerajaan Gagal”.

Apa sebab musabab yang mewujudkan persepsi mat rempit sehingga mereka sanggup mengeluarkan duit membeli kain putih, membeli beberapa penyembur cat merah untuk menuliskan “Kerajaan Gagal”. Kemudian mencari  jambatan yang strategik untuk menaikkan kain rentang ini. Kemudian mengikat kain rentang ini agar dapat dibaca oleh seantero alam.

Kenapa agaknya kumpulan masyarakat yang paling tercorot ini melakukan apa yang telah mereka lakukan pada malam raya di Parit Raja.

Perbuatan mat rempit ini satu manifestasi. Apa yang telah menunda, memahat dan menolak  hingga lahir manifestasi mat rempit ini.

Sebenarnya, persepsi kain rentang mat rempit ini adalah manifestasi daripada pandangan orang ramai. Saya bukan berniat untuk memperlekeh keupayaan fikrah mat rempit.

Saya menulis ini untuk merayakan mat rempit yang berani berkata: Woit Muhyiddin, woit Azmin dan woit Hamzah – seluar kamu semua dah koyak… anu terkeluar. Amin.

Apabila mat rempit menaikkan kain rentang “Kerajaan Gagal” ini maknanya kemarahan rakyat telah sampai ke tahap gaban. Apabila mat rempit mula bersuara ini maknanya ada sesuatu yang tidak kena dalam negara ini.

Jika saya Muhyidin, jika saya Azmin dan jika saya Hamzah, maka saya akan membaca tulisan Hishamuddin Rais tentang mat rempit ini hingga selesai.

Dan saya Hishamuddin Rais akan menyambung tulisan tentang mat rempit ini ke minggu hadapan. Amin.  – 17 Mei, 2021.

* Hishamuddin Rais, aktivis politik dan penulis.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen