Pakatan gesa Putrajaya lipat ganda ujian saringan Covid-19


Ujian saringan Covid-19 di seluruh negara menurun sebanyak 46% daripada 87,458 pada 12 Mei kepada 47,480 pada 15 Mei, kata Jawatankuasa Imunisasi PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2021.

PENULARAN wabak Covid-19 yang semakin serius di Malaysia ketika ini memerlukan Putrajaya melipatgandakan ujian saringan dan pemberian vaksin, gesa Pakatan Harapan (PH).

Jawatankuasa imunisasi PH dalam satu kenyataan berkata kadar ujian saringan Covid-19 di seluruh negara menurun ketika kes jangkitan melonjak naik.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, ujian saringan di seluruh negara menurun sebanyak 46% daripada 87,458 pada 12 Mei kepada 47,480 pada 15 Mei.

“Kadar jangkitan pada Hari Raya 5.78% dan naik kepada 7.32%, kemudian 8.72% berikutnya, dibawah penanda aras Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu 5%,” katanya.

Jawatankuasa itu menambah kadar jangkitan yang tinggi ketika ini menandakan Malaysia perlu melipatgandakan ujian saringan Covid-19, supaya penularan dalam komuniti dapat segera dikekang.

“Angka harian mungkin tidak menggambarkan situasi sebenar,” kata jawatankuasa yang diketuai bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

“Sebanyak 89% kes baharu yang dilaporkan dari 9 April hingga 8 Mei adalah sporadik, bermakna virus sudah tersebar luas dalam masyarakat.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan menjalankan ujian saringan berskala besar dengan menggunakan ujian kit ujian antigen RTK untuk pengesanan pantas.”

Kenyataan itu seterusnya berkata program pemberian vaksin perlu dipercepatkan.

“Hanya 3.6% penduduk sudah menerima satu dos vaksin Covid-19, sembilan kali perlahan berbanding Singapura (32.5%). 

“Ini jauh dari 75,000 dos yang diberi sehari, seperti yang didakwa oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Khairy Jamaluddin pada 27 Januari atau 126,000 seperti yang didakwa Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 13 Februari,” katanya.

Menurut jawatankuasa itu lagi, penularan pandemik Covid-19 hanya boleh dikawal dengan ujian saringan berskala besar dan pemberian vaksin.

“Selagi ini tidak dilakukan, Malaysia akan terus menghadapi gelombang virus dan kekal dalam sekatan pergerakan.”

Malaysia melaporkan 3,780 kes baharu Covid-29 semalam dengan 36 kematian.

Ini menjadikan sebanyak 470,110 kes direkodkan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 tahun lalu, dengan 42,135 kes aktif. Manakala jumlah keseluruhan kes kematian kini mencecah 1,902. – 17 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen