Keselamatan warga Palestin terjamin di Malaysia, kata menteri


Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2021.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin di seluruh dunia termasuk di Malaysia. 

Menterinya ,Hamzah Zainudin berkata sehubungan itu, pasukan Polis Diraja Malaysia bersama agensi-agensi keselamatan lain bertindak meningkatkan semua aspek kawalan keselamatan bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia termasuk warga Palestin yang berada di dalam negara ini. 

Beliau berkata dalam masa sama, KDN mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.

“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik. 

“Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama, 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen