3 lelaki kena kompaun RM5,000 cuba rentas daerah, negeri


Tiga lelaki dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana melanggar SOP PKP dengan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran polis di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson di Negeri Sembilan, semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2021.

Tiga lelaki dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran polis di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson di Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 34 hingga 37 tahun itu gagal mengemukakan surat kebenaran atau apa-apa dokumen berkaitan ketika rondaan polis dalam operasi pematuhan PKP di pantai itu kira-kira jam 6 petang.  

“Dua daripada mereka dari Seremban dan seorang lagi dari Selangor, mereka gagal menunjukkan sebarang surat kebenaran sewaktu diperiksa polis ketika berada di pantai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata polis turut membuka kertas siasatan berhubung kes tular di laman sosial berkaitan program sambutan Aidilfitri di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, pada 13 Mei lepas yang didakwa melanggar SOP ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan COVID-19.

Katanya, pihaknya menerima laporan berkaitan perkara itu hari ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21A APPPPB 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (no.4) 2021 / seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis memandang serius sebarang pelanggaran SOP Aidilfitri yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam mengawal jangkitan COVID-19 memandangkan kes wabak itu semakin meningkat saban hari,” katanya. – Bernama, 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen