Zahid gesa kaji semula undang-undang juvana, masukkan aspek pendidikan


Kamles Kumar

UNDANG-UNDANG juvana di negara ini perlu dikaji semula untuk memastikan pesalah belajar daripada kesilapan mereka dan bukan sekadar dihukum atau dipenjarakan, kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sistem pendidikan harus dibentuk untuk mencegah pesalah berulang.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, berkata model pendidikan yang dilaksanakan di Sekolah Henry Gurney boleh digunakan dalam usaha menyusun semula Akta Kanak-kanak 2001.

“Undang-undang juvana di negara ini perlu dikaji semula. Kita tidak boleh menghukum (pesalah) tanpa mendidik mereka. Kurikulum di Sekolah Henry Gurney sangat berkesan.

“Banyak pesalah muda yang berada dalam penjara, belajar melakukan kejahatan serius di sana. Penjara menjadi ‘sekolah’ mereka untuk mendapatkan ‘latihan’ jenayah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata model yang digunakan di Sekolah Henry Gurney menyaksikan ramai pesalah muda berjaya “dipulihkan”, dan mereka meninggalkan sekolah itu sebagai individu berdisiplin dengan pendidikan sewajarnya.

“Sekiranya kita meletakkan mereka di institusi seperti Sekolah Henry Gurney, mereka boleh menduduki peperiksaan SPM dan PT3. Ramai yang meninggalkan sekolah, pulih sepenuhnya.”

Zahid menambah 58% rakyat Malaysia dipenjarakan kerana kegiatan berkaitan dadah.

Ia dilaporkan tahun lepas 159 juvana ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Daripada jumlah itu, 142 ditangkap di bawah Poca, yang membolehkan polis menahan suspek tanpa perbicaraan, dan selebihnya ditahan di bawah Sosma. – 9 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen