Kes naik 8 kali ganda di Besut kerana rentas negeri Kelantan, kata PBT


Diyana Ibrahim

Pada 6 April, PKPD mula dilaksana apabila kluster Belaoh mula dikesan, membabitkan tiga lokaliti – Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak di Hulu Besut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2021.

KEDUDUKAN Besut yang bersempadan dengan Kelantan menjadi punca kes Covid-19 naik hingga 835% di daerah itu dalam masa kurang dua bulan, menurut pihak berkuasa kerajaan tempatan.

Pegawai Daerah Besut Ahmad Farhan Abdul Wahab kegiatan rentas sempadan dengan negeri yang mencatat kes harian tertinggi di Malaysia itu memberi kesan besar kepada daerah tersebut.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, pergerakan rentas negeri itu sukar dikawal kerana ramai penduduk Kelantan memasuki Besut saban hari, termasuk penjawat awam yang bertugas.

“Kita bersempadan dengan Kelantan yang kes positif Covid-19 mereka dalam 300 hingga 400 (sehari).

“Rakyat Kelantan ini datang membuat aktiviti rentas sempadan di Besut atas alasan urusan kerja, melawat keluarga.

“Dan kita sukar untuk mengawal aktiviti keluar masuk itu juga memandangkan terdapat juga sejumlah besar penjawat awam dari Kelantan yang bekerja di Besut,” katanya.

Pengerusi jawatankuasa bencana Besut itu tidak dapat menganggar dengan tepat jumlah penjawat awam Kelantan yang bekerja di daerah pentadbirannya namun percaya angkanya besar.

Ketua Polis Daerah Besut Abdul Rozak Muhammad pada 6 Mei lepas menyebut lebih 400 guru dari Kelantan membuat pergerakan rentas negeri setiap hari ke daerah pentadbirannya.

Beliau berkata selain sempadan di laluan pesisir pantai berhampiran Kuala Besut di Pachakan, Telaga Papan dan Gong Manak, pergerakan rentas negeri juga berlaku di laluan tikus.

“Jika dulu (awal April) kita ada 16 jalan tikus tapi sekarang sudah ada 30 jalan tikus yang dikenal pasti dari sempadan Besut-Pasir Puteh Kelantan yang dibina penduduk,” katanya.

Jelas beliau lebih banyak jalan kecil digunakan untuk merentas negeri selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dikuatkuasa di Kelantan.

“Ramai rakyat Kelantan yang nak masuk ke Besut sebab dulunya kita dalam status PKPB dan Kelantan sudah PKP, termasuk pengedar dadah yang nak membekalkan bahan.

“Ini apa yang dapat kita kenal pasti,” katanya yang berharap pelaksanaan PKP akan mengurangkan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah itu.

PKP pada mulanya dikuatkuasa di tujuh jajahan di Kelantan bermula 16 hingga 29 April ekoran pengesanan sehingga lebih 200 kes sehari.

Majlis Keselamatan Negara seterusnya pada 14 April mengumumkan PKP dikuatkuasa di seluruh Kelantan sehingga 27 April dengan meliputi tiga lagi jajahan – Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Ia seterusnya dilanjutkan lagi sehingga 17 Mei dan seterusnya sehingga 7 Jun apabila PKP diperluas ke seluruh negara berkuatkuasa sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus pula menjelaskan, hanya 60 kes direkodkan pada Mac, namun jumlah itu naik mendadak kepada 561 kes antara April dan Mei.

“Dalam tempoh bermula 1 April hingga 8 Mei, kita melakukan 9,936 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 662 kes positif dikesan,” katanya pada Selasa lalu.

Angka korban kes Covid-19 juga meningkat kepada 11 orang, terbaru seorang warga emas wanita berusia 63 tahun dari Kampung Gertak Seratus yang dilaporkan semalam.

Dr Nor Azimi berkata pada waktu ini sekurang-kurangnya 45 kes baharu dicatatkan di Besut setiap hari dengan lapan kluster aktif di daerah itu.

Dua kluster – D’ Lahar dan Tok Has menjadi rantaian jangkitan paling besar di daerah itu dengan jumlah angka positif paling tinggi.

Selari dengan kawalan bagi membendung peningkatan kes di Kelantan, kawalan pegerakan di Besut  juga diperketat dengan PKP bermula 7 hingga 20 Mei.

Pada 6 April, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mula dilaksana apabila kluster Belaoh mula dikesan.

Kawalan PKPD itu membabitkan tiga lokaliti – Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak di Hulu Besut.

Jangkitan dari kluster komuniti itu merebak sehingga ke Marang di Terengganu serta Bachok di Kelantan. – 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen