KETIBAAN terlalu awal penerima vaksin dan mereka yang datang tanpa temu janji menjadi punca kesesakan di pusat vaksinasi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, kata Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF).
“Isu ini berlaku apabila ada penerima tiba terlalu awal daripada waktu temu janji, sekali gus menyebabkan kesesakan di pusat vaksin.
“Sebagai contoh, ada yang tiba pukul 2 petang sedangkan waktu temu janji pukul 6 petang.
“Malah ramai juga individu mencuba nasib untuk datang tanpa temu janji, sekali gus menyumbang lagi kesesakan di sini,” kata CITF dalam satu kenyataan.
Setakat hari ini, pusat vaksinasi WTCKL meningkatkan kapasiti penerima kepada 8,100 dos sehari berbanding 2,400 dos.
CITF berkata pihaknya bimbang dengan keselamatan penerima ekoran kes Covid-19 yang masih tinggi dan menggesa mereka yang hadir untuk mengikut SOP yang disediakan.
CITF juga menggesa orang awam untuk tiba 15 hingga 30 minit awal sebelum temu janji dan mengikut arahan pegawai di pusat berkenaan selain mengamalkan penjarakan sosial serta memakai pelitup muka sepanjang masa.
Mereka juga diminta meninggalkan premis itu selepas selesai menerima suntikan.
Awal hari ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menginatkan bahawa bakal penerima vaksin yang berstatus individu dalam siasatan (PUI), kontak rapat pesakit Covid-19 atau individu dalam pengawasan (PUS) tidak dibenarkan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Katanya berkata setakat ini pihaknya mendapati beberapa individu yang berstatus sedemikian hadir ke PPV, sedangkan mereka sepatutnya berada di rumah.
Menurutnya, pihaknya akan menjadualkan semula vaksinasi bagi mereka yang berstatus sedemikian kerana individu berkenaan berisiko untuk menjangkiti orang lain.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan membuka lagi pendaftaran untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca untuk penduduk di Lembah Klang serta beberapa negeri lain dan pengumuman berhubung berkara itu akan dilakukan pada minggu hadapan.
Pada 2 Mei lepas, kerajaan membuka pendaftaran suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela dan terbuka bagi individu yang layak serta berumur 18 tahun dan proses suntikan vaksin itu bermula pada 5 Mei. – 15 Mei, 2021.
Komen