YANG Dipertuan Agong akan menetapkan tarikh pilihan raya Sarawak kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibubarkan sebelum 6 Jun disebabkan darurat, kata seorang pemimpin parti negeri itu.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Alexander Nanta Linggi berkata demikian selepas mesyuarat presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini.
Linggi berkata kebiasaannya, tempoh DUN akan berakhir pada 6 Jun, lima tahun selepas sidang pertama pada 7 Jun jika pilihan raya diadakan pada tahun tersebut.
“DUN akan dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih wakil rakyat mereka secara demokratik.
“Tetapi kita kini di bawah darurat akibat pandemik Covid-19 yang akan berakhir pada 1 Ogos.”
Linggi berkata mengikut Perlembagaan negeri, DUN akan dibubarkan secara automatik jika tiada pilihan raya diadakan sebelum 6 Jun dan peruntukan ini tidak terkesan dengan Ordinan Darurat 2021.
Beliau berkata Ketua Menteri Abang Johari Openg telah mengadakan pertemuan dengan Gabenor Taib Mahmud bagi memaklumkan situasi tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila pertemuan itu berlangsung.
Linggi berkata tarikh pembubaran DUN akan diputuskan oleh Agong selepas berbincang dengan Gabenor mengikut kesesuaian.
Beliau berkata Abang Johari akan mengadap Agong bagi memaklumkan perkara itu.
Linggi juga mengulangi pesanan Abang Johari yang disampaikan menerusi ucapan sambutan Hari Raya baru-baru ini bahawa pilihan raya bukan keutamaan buat masa ini.
Katanya kerajaan Sarawak juga tidak memikirkan soal itu kerana nyawa rakyat lebih penting ketika menghadapi pandemik ini. – 15 Mei, 2021.
Komen