KERAJAAN perlu mengumumkan pakej rangsangan ekonomi baharu bernilai RM45 bilion bagi membantu rakyat dan perniagaan mengharungi beban kewangan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0), kata Lim Guan Eng.
Bekas menteri kewangan itu berkata hanya pakej sedemikian boleh meredakan kemarahan rakyat terhadap ‘kegagalan’ kerajaan untuk mengekang peningkatan kes jangkitan Covid-19 walaupun melaksanakan tiga PKP.
Beliau juga berkata pakej rangsangan ekonomi juga boleh membantu memperlahankan pemberhentian pekerja, kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan dan melindungi kehidupan rakyat.
Lim berkata pakej itu juga perlu ditambah dengan dana kebajikan bulanan sehingga RM1,000 dan lanjutan moratorium secara automatik bagi pembayaran pinjaman bank sehingga tamat program vaksinasi, kecuali untuk golongan T20.
“Langkah ini akan membantu lapan juta rakyat dan perniagaan serta ia harus ditanggung oleh bank yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM22 bilion pada tahun 2020 dan RM32.3 bilion pada tahun 2019.
“Kerajaan juga perlu memberi RM500 sebulan kepada majikan dan RM300 sebulan kepada pekerja bagi menggalakkan mereka mengambil pekerja tempatan.
“Langkah ini akan mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Langkah itu katanya akan menelan kos sebanyak RM6.5 bilion.
Selain itu, Lim berkata kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan RM3.5 bilion untuk membeli komputer riba kepada pelajar agar boleh menyertai aktiviti e-pembelajaran.
“RM23 bilion perlu disediakan untuk perniagaan yang terjejas oleh kemelesetan dan PKP dalam bentuk pemberian, subsidi, jaminan dan pemberian kredit,” katanya.
Beliau berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu sedar bahawa rakyat tidak marah kerana pelaksanaan PKP dalam memerangi Covid-19, tetapi marah kerana kegagalan mengekang virus itu.
“Macam mana rakytat tidak marah jika angka jangkitan Covid-19 terus meningkatkan sedangkan Parlimen masih ditutup?
“Lebih teruk lagi adalah kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa PKP3.0 dijangka tidak memberi kesan ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Cuba katakan sedemikian kepada perniagaan dalam sektor pelancongan yang akan gulung tikar atau mereka yang mengalami kerugian besar di sektor runcit disebabkan PKP.
“Adakah Perikatan Nasional memberi isyarat bahawa tidak ada bantuan kerajaan yang akan diberikan di bawah PKP 3.0?” soalnya. – 15 Mei, 2021.
Komen