UK bimbang varian India jejas rancangan longgar sekatan


Perdana Menteri Boris Johnson bimbang dengan kemungkinan varian India yang menjejaskan rancangan pembukaan semula Britain. – Gambar EPA, 15 Mei, 2021.

PENINGKATAN kes varian koronavirus India akan menyebabkan gangguan serius terhadap rancangan pembukaan semula Britain, kata Perdana Menteri Boris Johnson semalam.

England akan dibuka semula pada Isnin seperti dirancang tetapi tahap akhir, yang saat ini dijadualkan pada 21 Jun, mungkin diragui.

“Saya rasa tidak perlu menangguhkan rancangan kita,” kata Johnson.

Tetapi, “varian baru ini mungkin memberi gangguan serius terhadap kemajuan kita,” katanya, sambil menambah, “Kami akan melakukan apa sahaja untuk menjaga keselamatan masyarakat.”

Kementerian Kesihatan berkata varian B1.617.2 “mulai tersebar dengan lebih cepat” di barat laut England dan pada tahap lebih rendah di London, “dan tindakan tegas sedang diambil untuk mengekang penyebarannya”.

Dos vaksin kedua akan disegerakan untuk mereka berusia lebih 50-an dan rentan secara klinikal dalam usaha untuk mengawalnya, kata Johnson kepada media.

Lonjakan ujian dan kemungkinan sekatan tempatan juga dipertimbangkan selepas jangkitan varian meningkat dari 520 minggu lalu kepada 1,313 minggu ini, kata pegawai.

Kerajaan sedang menunggu data yang akan menunjukkan apakah varian baharu lebih mudah merebak berbanding strain lain sebelum memutuskan langkah selanjutnya, kata Johnson.

Para saintis percaya ia lebih mudah merebak, tetapi tidak yakin dengan jumlahnya, kata ketua pegawai perubatan Chris Whitty.

Jika hanya sedikit, negara itu akan dibuka semula seperti yang dirancang, kata Johnson.

Tetapi jika ada bukti penyebaran tidak terkawal dan ancaman peningkatan terhadap NHS, maka kemungkinan terdapat lebih banyak sekatan, tambahnya.

Britain menyaksikan penurunan kes dalam beberapa bulan terakhir susulan kempen vaksin yang berjaya, dan pegawai optimis ia akan berkesan terhadap varian tersebut.

“Sejauh ini, tiada bukti vaksin kami kurang efektif untuk melawan penyakit serius dan mereka yang dirawat di hospital,” kata perdana menteri, sambil menambah negara “berada dalam posisi yang berbeza berbanding dahulu ketika kita menghadapi varian baru.”

“Kita harus mempercayai vaksin kita ... sambil memantau situasi dengan ketat,” katanya.

Kerajaan bulan lalu memasukkan India dalam senarai merah perjalanan, yang bermaksud pelancong dari negara itu perlu dikuarantin di hotel semasa tiba di Britain.

Britain secara beransur-ansur membuka kembali ekonominya, setelah berbulan-bulan sekatan koronavirus.

Pada Isnin, pencampuran dalam kawasan tertutup akan dibenarkan semula di England, termasuk di pub dan restoran.

Varian India turut mencetuskan kebimbangan di Scotland dan Wales, yang melaksanakan polisi kesihatan mereka sendiri.

Scotland semalam mengumumkan akan meneruskan tahap berikutnya bagi pembukaan semula pada Isnin, kecuali di Glasgow, dengan sekatan akan tetap tidak berubah kerana kenaikan kes varian. – AFP, 15 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen