PUTRAJAYA sepatutnya menggiatkan lagi program imunisasi nasional Covid-19 bagi mencapai 80% komuniti kelompok menjelang akhir tahun ini, bukannya melaksanakan perintah sekatan kawalan pergerakan berulang kali, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.
“Setakat 12 Mei, hanya 41.6% atau 10.1 juta rakyat mendaftar untuk program imunisasi Covid-19. Hanya 732,305 sudah menerima vaksin sepenuhnya dan ini termasuk 500,000 daripada fasa pertama.
“Adakah kerajaan akan mencapai sasarannya? Nampak sangat ia tersasar daripada sasaran asal,” katanya.
Fasa kedua program imunisasi itu sepatutnya memberi suntikan vaksin kepada 9.4 juta atau 30.9% daripada populasi pada Ogos.
Kerajaan berkata masalah bekalan vaksin adalah punca program imunisasi agak perlahan, tetapi ia memberi jaminan Malaysia akan menerima bekalan pada Jun.
Khairy Jamaluddin yang juga menteri penyelaras program imunisasi itu berkata Malaysia akan menerima 875,000 dos vaksin daripada Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca antara 19 Mei hingga 1 Jun.
“Persoalannya ialah apa jaminan kita akan terima vaksin pada Jun dan kalau kita terima bekalan itu sekalipun, bolehkah proses sedia ada membantu meningkatkan kadar imunisasi harian untuk mencapai 9.4 juta penerima pada Ogos,” soal Sim.
Beliau berkata sasaran kerajaan memberi suntikan kepada 160,000 penerima setiap hari untuk fasa kedua tidak meyakinkan kerana ia tiga kali daripada kapasiti semasa iaitu 40,000 hingga 50,000 individu sehari.
“Dengan penambahan bekalan vaksin sekalipun, tambahan pusat imunisasi dan pengendali suntikan, amat membimbangkan yang kadar imunisasi harian tidak akan mencapai 160,000 orang sehari dan sasaran 9.4 juta orang menjelang Ogos, apatah lagi 80% pada akhir tahun.”
Sim menggesa kerajaan mengambil semua langkah perlu, termasuk perbelanjaan untuk menambah bekalan vaksin bagi melonjakkan kadar imunisasi. – 14 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen