Peguam tuntut bukti kes murid ditampar guru di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Noor Idzahril Ahmad (empat dari kiri) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal pagi ini. Kes akan disebut semula pada 19 Februari. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Januari 2018

Seorang guru sebuah sekolah di Nibong Tebal yang diheret ke mahkamah atas tuduhan mencederakan muridnya memohon agar mahkamah menggugurkan tuduhan berkenaan.

Peguam Mohd Fadhly Yaacob berkata pendakwaan masih belum mengemukakan bukti berhubung kecederaan yang didakwa dilakukan anak guamnya, Noor Idzahril Ahmad, 52.

Peguam tersebut memberitahu Mahkamah Majistret Jawi hari ini bahawa pendakwaan ke atas guru tersebut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu bersifat pramatang kerana pendakwaan tidak mengemukakan laporan perubatan.

“Ini adalah kali ketiga kes ini didengar di mahkamah. Tetapi masih belum ada laporan perubatan ke atas murid ini. Tuduhan ini tidak konklusif tanpa (laporan perubatan ini).

“Untuk tuduhan seperti ini, elemen kecederaan mesti ada. Kami berhujah bahawa tuduhan ini pramatang dan perlu menunggu sehingga ada laporan perubatan,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Tambahnya, beliau turut memohon untuk menggugurkan kes tersebut atas alasan berkenaan namun Majistret Hizween Azleena Othman Kamal memutuskan untuk melanjutkan tempoh untuk pendakwaan mengemukakan laporan tersebut.

“Kami akan kembali untuk sebutan semula pada 19 Februari. Pendakwaan akan mengemukakan laporan pada masa itu.

“Jika pendakwaan gagal (kemuka laporan perubatan), kami mungkin berpeluang untuk mendapatkan keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan untuk guru tersebut,” katanya.

Pemberita tidak dibenarkan memasuki bilik mahkamah untuk mengikuti perbicaraan pada pagi ini.

Noor Idzahril didakwa melakukan kecederaan itu ke atas seorang murid Tahun Tiga di SK Seri Sentosa pada 2 Ogos tahun lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah ketika didakwa di mahkamah pada 11 Disember dan dibebaskan dengan jaminan RM4,000.

Sekiranya sabit kesalahan, Noor Idzahril yang masih berkhidmat sebagai guru di sekolah berkenaan, mungkin dijatuhi hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Dua lagi peguam yang mewakili Noor Idzahril adalah Wan Nazri Othman dan Mohd Irwan Nizam Khorizan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzair Abd Munir.

Kes Noor Idzahril menjadi perhatian susulan kes melibatkan seorang guru di Nilai, Azizan Manap yang dilepaskan dari tuduhan menampar seorang murid 11 tahun di SK Taman Semarak pada bulan lalu.

Azizan, 44, dilepaskan tanpa dibebaskan dari tuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu. - 9 Januari 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen