Hari Raya tahun depan terjejas lagi jika Covid-19 gagal ditangani, kata Kit Siang


PKP dikuatkuasakan sekali lagi di seluruh negara susulan angka kes jangkitan Covid-19 membimbangkan dengan SOP lebih ketat sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2021.

KEGAGALAN berterusan kerajaan dalam menurunkan kes jangkitan Covid-19 mungkin bakal menjejaskan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun depan, buat tiga tahun berturut-turut, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata kegagalan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyebabkan gelombang ketiga Covid-19 di negara ini jadi semakin serius dengan varian lebih berbahaya dan kadar imunisasi yang rendah.

“Apa jaminannya yang Hari Raya Aidifitri tahun depan tidak akan menjadi tahun ketiga berturut-turut aktiviti balik kampung sekali lagi dilarang?

“Kenapa perisytiaran darurat pada 12 Januari gagal mengawal gelombang ketiga Covid-19, menjadikan keadaan lebih buruk apabila tahun ini balik kampung halaman tidak dibenarkan langsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim turut bertanya adakah Muhyiddin bersetuju penggantungan Parlimen menjadi antara faktor penting atas kegagalan darurat untuk mengawal gelombang ketiga Covid-19.

Beliau berkata Yang di Pertuan Agong dapat melihat kepentingan pemeriksaan parlimen dan peranan parlimen untuk periksa dan imbang eksekutif supaya Covid-19 dapat dikawal.

“Agong secara terbuka berkata Parlimen boleh sambung bersidang ketika darurat. Tetapi perdana menteri dan Kabinetnnya tidak terima nasihat Agong,” katanya.

Lim berkata sudah tiba masanya Muhyiddin dan Kabinetnya menerima nasihat Agong untuk menyambung semula Parlimen.

Semalam, Malaysia merekodkan 4,855 kes baharu Covid-19 dengan 27 kematian.

Jumlah kes harian semalam adalah keempat tertinggi dan kedua tertinggi daripada segi angka kematian sejak pandemik Covid-19 bermula pada Januari tahun lepas. – 14 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen