ANAK aktivis Amri Che Mat sudah tidak lagi bertanya tentang bapa mereka.
Jika mereka bertanya, ia hanya akan menambah kesedihan dalam keluarga, kata ibu mereka Norhayati Ariffin kepada The Malaysian Insight.
Norhayati dan empat anak masing-masing berusia 14, 19, 21 dan 23 tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri kali kelima tanpa Amri di sisi, yang hilang sejak 24 November, 2016 selepas keluar dari rumah mereka di Kangar, Perlis.
“Walaupun anak saya tahu keadaan ini, mereka tidak bertanya tentang bapa mereka kerana ia hanya akan menjadikan semua orang sedih.
“Mereka tahu tentang penculikan itu dan mereka bertahan. Walaupun mereka tidak bertanya, mereka tidak melupakan tentang kehilangan Amri,” katanya.
Norhayati, 46, berkata keluarganya mahu tahu adakah Amri masih hidup atau sudah meninggal dunia.
“Ini harapan kami untuk mencari penutup. Kami mahu tahu (daripada pihak berkuasa) apa statusnya sekarang.
“Apa yang berlaku kepada siasatan? Adakah ia dihentikan? Jangan beritahu saya mereka (pihak berkuasa) tidak tahu tentang kes ini.”
Amri dikatakan berfahaman Syiah dan juga seorang aktivis sosial bersama kumpulan Perlis Hope.
Selain Amri, satu lagi kes kehilangan berprofil tinggi ialah Pastor Raymond Koh, yang diculik pada waktu siang oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika mangsa sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, Selangor pada 13 Februari, 2017.
Siasatan awam yang dijalankan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memutuskan ada kemungkinan besar kedua-dua individu itu diculik oleh Cawangan Khas dari ibu pejabat polis persekutuan.
Mereka dikatakan menjadi mangsa kehilangan paksa.
Suhakam pada masa ini sedang mengadakan siasatan awam terhadap kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu, yang kali terakhir dilihat pada 30 November, 2016.
Ruth ialah warga Indonesia, sementara Joshua berasal dari Taiping, Perak. Joshua murtad selepas menukar agama kepada Kristian. Pasangan itu dikatakan berkahwin mengikut adat Batak pada 2006 sebelum ke Malaysia setahun selepas itu. – 14 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Jason Varughese · Ulasan