#BerayaDiJalanRaya banjiri Twitter bantah kegagalan kerajaan tangani Covid-19


Antara pengguna Twitter yang menyertai tunjuk perasaan terhadap kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar Twitter, 13 Mei, 2021.

PENGGUNA Twitter menunjukkan tunjuk perasaan pada hari pertama sambutan Aidilfitri dengan tanda pagar #BerayaDiJalanraya bagi membantah kegagalan kerajaan menangani peningkatan kes Covid-19 dan menggantung Parlimen di bawah perintah darurat.

Sejak tengah hari tadi, pengguna menyiarkan gambar mereka termasuk bersama ahli keluarga dengan memegang plakad pelbagai mesej termasuk #KerajaanGagal sebagai tanda tidak puas hati mereka kepada pentadbiran Perikatan Nasional.

“Ini bukan yang patut kita katakan hari ini tetapi bagi menyuarakan apa yang tidak patut kita dapat, kita perlu bertindak betul dan belajar dari pengalaman lepas,” kata pengguna @NurAzre.

“Kita dalam keadaan darurat sejak awal 2021 dan jika SOP jelas dan dilaksana dengan ketat tanpa pilih kasih, kita mungkin boleh pulang beraya di kampung.

“Tapi tidak…SOP PKK berubah setiap hari dan kita terpaksa #BerayaDiJalanraya,” tulis seorang lagi pengguna dikenali Mayna Patel.

Bantahan secara dalam talian itu dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), iaitu kumpulan sama yang mengadakan kempen “Buka puasa, buka Parliamen” di luar Parlimen pada 30 April lalu.

Parlimen digantung di bawah darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari lalu sebagai langkah menangani pandemik Covid-19 tetapi pengkritik menyifatkan langkah itu sebagai alasan Putrajaya mengelak daripada semak dan imbang.

Alasan kerajaan meletakkan negara ini dalam perintah daruat menimbulkan keraguan dengan rakyat menyifatkan langkah itu sebagai satu kegagalan kerana kes masih tinggi sehingga hampir mencecah 5,000 kes sehari.

Malaysia juga diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali ketiga bermula 12 Mei sehingga 7 Jun.

Ramai rakyat Malaysia tidak dapat pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri ekoran larangan rentas negeri dan daerah di bawah pelaksanaan PKP3.0.

SSR dalam Twitternya berkata bantahan #BerayaDiJalanraya merupakan cara untuk menunjukkan kegagalan kerajaan PN mengendalikan krisis Covid-19.

Mereka mengajak pengguna media sosial melakukan langkah sama bagi menyuarakan rasa tidak puas hati bermula 12.30 tengah hari hari ini. – 13 Mei, 2021.

“Dalam kita merayakan hari raya ini, jangan kita lupa bahawa kita tak dapat berjumpa teman-teman dan keluarga kerana #KerajaanGagal,” tulis @amirxabdhadi. – 13 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen