SEBANYAK 4.68 juta sarung tangan getah buatan anak syarikat Top Glove Corporation Bhd bernilai AS$ 690,000 (RM2.84 juta) dirampas di pelabuhan Amerika Syarikat (AS), kata agensi kastam negara itu semalam.
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) dalam kenyataan berkata rampasan dibuat di Pelabuhan Kansas City, Missouri selepas agensi itu mendapat maklumat sarung tangan berkenaan dikeluarkan menggunakan buruh paksa.
Awal bulan ini CBP merampas 3.97 juta sarung tangan bernilai AS$518,000 (RM2.13 juta) di pelabuhan Cleveland.
CBP dalam kenyataan sebelum ini berkata mereka menemui “maklumat yang mencukupi” bahawa Top Glove, pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, menggunakan buruh paksa.
“Rampasan di Kansas City dilakukan berikutan pemeriksaa pegawai CBP mendapati sarung tangan tersebut dihasilkan oleh syarikat Top Glove dari Malaysia, dianggarkan bernilai AS$ 690,000.
“Oleh kerana rampasan berlaku di Amerika, ia menunjukkan bahawa pengimportan hasil dari buruh paksa mempengaruhi semua pihak di seluruh negara.
“CBP tidak akan bertolak ansur terhadap amalan buruh paksa dalam rantaian bekalan di AS,” kata Pengarah Pelabuhan Kansas City Steven Ellis.
Kenyataan CBP juga menyebut banyak bukti menunjukkan Top Glove mengamalkan buruh paksa.
Julai tahun lalu, CBP mengeluarkan perintah sekatan pelepasan (WRO) ke atas semua produk yang masuk ke sempadan AS. – 13 Mei, 2021.
Komen