Perang lawan Covid-19 belum berakhir, kata Dr Noor Hisham


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengadakan sesi tinjauan di Hospital Putrajaya pada hari pertama Aidilfitri. – Gambar Facebook Dr Noor Hisham Abdullah, 13 Mei, 2021.

PERANG melawan pandemik Covid-19 belum lagi berakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, ketika Malaysia meningkatkan usaha membendung penularan varian baharu virus itu.

Beliau berharap warga Kementerian Kesihatan akan terus berjuang sebagai “pertahanan terakhir” dalam perang ini.

“Peperangan masih berjalan dan warga Kementerian Kesihatan merupakan pertahanan terakhir bagi memutuskan rantaian Covid-19. 

“Semoga terus berikhtiar dan cuba sedaya upaya bagi membebaskan negara daripada pandemik ini,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Dr Noor Hisham hari ini meninjau Hospital Putrajaya, dalam lawatannya untuk memberi sokongan moral kepada warga kementerian yang bertugas pada hari pertama Aidilfitri.

“Petugas kesihatan telah ‘berperang’ untuk tempoh yang amat panjang, iaitu hampir 16 bulan. 

“Kebanyakan kita telah pun lesu dan juga (letih) dari segi mental dan fizikal, tapi kalau kita tidak membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, maka ramai komuniti akan dijangkiti virus itu,” katanya, lapor Bernama.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya sudah siap sedia untuk menghadapi varian baharu Covid-19 yang dikenal pasti masuk ke negara ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam berkata Malaysia sedang berdepan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang lebih mencabar susulan kemunculan varian baharu yang meningkatkan kadar kebolehjangkitan wabak.

Katanya, varian baharu itu dikatakan lebih bahaya daripada varian yang dikesan di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan, dan beberapa negara lain.

Muhyiddin menjangkakan jumlah kes jangkitan harian sampai ke lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang jika penularan varian baharu itu tidak disekat. 

“Pada masa itu, seluruh sistem kesihatan negara kita yang sedang berada dalam keadaan yang kritikal pada masa ini akan lumpuh sepertimana yang berlaku di negara lain, pesakit mati bergelimpangan di jalan raya kerana hospital tidak lagi mempunyai kemampuan untuk menerima pesakit,” katanya, dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan di televisyen malam tadi. – 13 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen