Darurat gagal kekang Covid-19, kata Kit Siang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata kegagalan itu terbukti dengan 39 kes kematian semalam, tertinggi pernah dilaporkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2021.

PERINTAH darurat ternyata gagal mengekang pandemik Covid-19 ketika situasi dalam negara semakin kritikal, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata kegagalan itu terbukti melalui 4,765 kes baharu semalam dengan 39 kematian, angka kematian tertinggi pernah dilaporkan.

“Kalau ini bukan satu kegagalan, saya tidak tahu lah hendak panggil apa lagi.”

Angka harian kes Covid-19 dan kematian yang direkodkan semalam juga mengesahkan amaran kerajaan Indonesia kepada rakyatnya supaya menjadikan situasi di Malaysia dan India sebagai iktibar.

Lim berkata ketika darurat diisytiharkan pada 12 Januari lalu pun negara mencatat 3,309 kes dengan empat kematian.

Menurutnya, Malaysia kini berada di kedudukan ke-42 dari segi jumlah keseluruhan kes Covid-19, dan tidak mustahil lebih memburuk menjelang 7 Jun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketiga dijadual tamat.

Beliau turut menyelar Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berkata golongan penentang pelaksanaan darurat untuk menangani Covid-19 lebih teruk daripada pengganas.

Hadi dalam kenyataanya bulan lalu berkata golongan yang menentang perintah darurat itu hanya bertindak demikian kerana mahu meraih kuasa semula.

Kata Lim, rakyat sebenarnya menentang perintah darurat kerana ia jelas gagal membendung penularan Covid-19 yang menjejas kehidupan.

“Sama ada mereka peniaga bazar Ramadan, pengusaha PKS dan pekerja, atau rakyat biasa, kesemuanya cintakan keamanan dan bukannya pengebom, pembunuh atau orang yang bertanggungjawab atas 1,761 kematian akibat Covid-19 di Malaysia.” – 13 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen