AHLI Parlimen pembangkang mengkritik cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani penularan pandemik Covid-19 dan mempersoalkan keperluan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
Kerajaan tiada strategi yang jelas dan berkesan untuk membendung wabak, sebaliknya mengambil jalan mudah dengan menguatkuasakan PKP 3.0 di seluruh negara, kata mereka.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, di media sosial majoriti rakyat Malaysia melahirkan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menempuh lagi sekatan pergerakan serta merasakan kerajaan tidak tahu serta hilang arah bagaimana hendak menangani wabak Covid-19 yang menular dalam negara.
“Kerajaan seperti tidak tahu apa perlu dibuat. Tiada strategi jelas, dan nampaknya PKP yang diumum dan dilaksanakan tiada objektif jelas, tiada sasaran.
“Beberapa prosedur operasi standard (SOP) juga tidak masuk akal. PKP tidak mencapai sasaran dan tidak berjaya menangani punca kepada masalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
PKP 3.0 berkuatkuasa semalam sehingga 7 Jun, ketika angka harian jangkitan Covid-19 dalam negara mencecah 4,765 kes sehari, tertinggi sejak 31 Januari.
Malaysia mencatat 5,298 kes pada 31 Januari.
Angka harian yang direkodkan menunjukkan peningkatan kepada dari lebih 2,000 kepada 3,000 dan sehingga 4,000 selama beberapa minggu, tidak sampi sebulan selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi jaminan tiada lagi PKP akan dikenakan di seluruh negara.
Di bawah PKP 3.0, rentas daerah dan negeri, perhimpunan sosial, kegiatan sukan serta rekreasi dilarang kecuali secara individu di kawasan terbuka. Semua institusi pendidikan juga ditutup kecuali pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.
Bagaimanapun, hampir semua aktiviti ekonomi kecuali spa,kelab malam dan pusat hiburan dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan. Makan di tempat di restoran dan kedai makan dilarang tetapi penjualan makanan secara pandu lalu dan bawa pulang dibenarkan.
Khalid, yang juga pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, mengkritik pelaksanaan darurat bagi membendung pandemik Covid-19 dalam negara dan menyifatkannya bermotifkan politik.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah pula berkata kerajaan perlu mengutamakan matlamat untuk membasmi penularan Covid-19 dan menetapkan SOP yang betul apabila perniagaan serta beberapa aktiviti keagamaan masih dibenarkan.
“Jika bernarkan aktiviti ekonomi, maka kerajaan perlu keluarkan SOP yang lebih jelas kerana pekerja masih berkumpul di tempat kerja.
“Apabila pekerja berkumpul, mereka perlu jalani ujian setiap minggu sebelum masuk ke dalam premis. Dengan cara ini kita boleh kesan (penularan virus) dengan pantas,” katanya.
Bekas pengerusi Bersih 2.0 itu menambah, langkah sama juga perlu dibuat di masjid.
“Walaupun perhimpunan sosial dilarang, tetapi pada masa yang sama orang ramai dibenarkan ke masjid dan surau.
“Walau mereka ikut SOP, namun ini bukan hanya berkenaan penjarakan fizikal kerana virus boleh disebar melalui cara lain.”
PKP 3.0 masih membenarkan solat sunat Aidilfitri dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

Maria juga menggesa kerajaan dan kementerian berbincang sebelum membuat sebarang pengumuman supaya rakyat tidak keliru.
“(Mereka perlu) lawan wabak, bukan mengambil hati pihak tertentu.
“Apabila tiada SOP yang jelas, rakyat akan menderita dan terpaksa membayar kompaun kerana tidak tahu sama ada mereka melanggar SOP atau tidak.
“Anda denda rakyat kerana SOP anda tidak jelas dan tidak adil,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata PKP 3.0 dapat memutuskan rantaian jangkitan jika kerajaan mengenakan SOP lebih ketat dan menyebarkan maklumat mengenai pandemik Covid-19 dengan lebih baik.
Komunikasi lebih baik
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata beliau menyarankan kepada kerajaan supaya melantik jurucakap khas bagi menjelaskan maklumat penting mengenai Covid-19, termasuk vaksinasi, kuarantin, SOP dan PKP.
“Ini untuk mengelak kekeliruan berpanjangan kerana kita sudahpun keliru selama setahun.”
Seorang lagi ahli Parlimen DAP, Teresa Kok berkata Putrajaya menguruskan pandemik Covid-19 dengan cacamarba.
“Pengumuman dibuat tanpa rujukan dan pemikiran yang tepat, menyebabkan beberapa siri ‘flip-flop’ sehingga kerajaan menjadi bahan ketawa.
“Kerana komunikasi yang tidak jelas rakyat secara dengan terbuka melanggar SOP. PKP tidak zkan berkesan seperti yang kerajaan harapkan,” kata ahli Parlimen Seputeh. – 13 Mei, 2021.
Komen