Kementerian perlu ada strategi bersasar tangani impak Covid-19, kata wakil rakyat DAP


Putrajaya perlu ambil pendekatan bersasar mengikut sektor dan individu paling teruk terjejas untuk mengurangkan kesan Covid-19, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2021.

PUTRAJAYA perlu mengambil pendekatan bersasar mengikut sektor dan individu yang paling teruk terjejas untuk mengurangkan kesan Covid-19 dan perintah sekatan pergerakan terhadap ekonomi, kata bekas timbalan menteri Ong Kian Ming.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata strategi bersasar perlu dibangunkan semua kementerian dan tidak boleh diserahkan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia saja.

“Sekarang, dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), sektor dan individu yang paling terjejas dalam suku pertama 2021 akan terus terjejas pada suku kedua, mungkin lebih teruk lagi.

“Apa yang diperlukan sekarang ialah pendekatan bersasar oleh kerajaan membabitkan semua kementerian bagi membantu sektor dan individu paling terjejas akibat PKP, dalam cara yang bersasar dan strategic,” katanya.

Wakil rakyat DAP itu berkata pembuat dasar perlu terlebih dulu memahami kesan PKP terhadap pelbagai sektor dan sub sektor.

“Sebagai contoh, sektor pertanian secara keseluruhan berkembang 0.4% tetapi dalam sektor itu, ada pelbagai varian.

“Sektor getah mengalami penurunan 12%, sektor perikatan dan akuakultur menurun 9.6% dan 5.2%, malah sektor kelapa sawit juga merosot 3.5%, mungkin kerana pengurangan penghasilan apabila permit pekerja asing tidak dapat dikeluarkan,” katanya memetic beberapa contoh.

Ong berkata memahami kesan PKP terhadap sektor yang berbeza akan membantu kerajaan mengguna pakai pendekatan berlainan, strategic dan bersasar terhadap mereka yang paling terjejas.

Satu lagi contoh, katanya ialah nelayan yang menggunakan bot kecil lebih terjejas kerana mereka yang ada bot besar mempunyai jaringan lebih luas dengan pemborong dan pengedar ikan.

Kumpulan kedua nelayan itu katanya, mungkin tidak memerlukan bantuan sebanyak kumpulan pertama.

Sehubungan itu, katanya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mengarahkan setiap kementerian tampil dengan strategi dan pelan bagi membantu, menstruktur semula dan kemudian memulihkan sektor dan sub sektor mengikut kementerian masing-masing. – 12 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen