PERINTAH darurat yang dilaksanakan pada Januari membantu mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 dan menurunkan jumlah kes di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Dalam sidang media bersama Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, Dr Noor Hisham berkata darurat membolehkan penangguhan pilihan raya kecil dan pilihan raya yang mungkin akan menyebabkan peningkatan kes Covid-19.
“Darurat menjadikan kadar jangkitan dan kes baharu menurun. Ia juga untuk menangguhkan pilihan raya kecil, contohnya di Batu Sapi dan pilihan raya negeri di Sarawak.
“Kita belajar daripada insiden di Sabah yang mana kes melonjak selepas pilihan raya negeri. Di India juga kes meningkat kerana terdapat lima pilihan raya diadakan,” kata Dr Noor Hisham.
Pada Januari, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat seluruh negara sehingga 1 Ogos bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
Raja memperkenankan cadangan kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Perisytiharan darurat itu mendapat kritikan daripada ahli politik pembangkang, masyarakat sivil serta orang awam berikutan ia tidak membantu menurunkan kes jangkitan Covid-19.
Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri turut digantung, sekaligus mencetuskan kritikan berikutan kekurangan semak dan imbang terhadap keputusan dan perbelanjaan kerajaan.– 11 Mei, 2021.
Komen