China seru vaksin Covid-19 diagih dengan adil


China menyeru negara yang berkemampuan bertindak secepat mungkin untuk menggalakkan pengagihan dan penggunaan vaksin secara adil kepada masyarakat antarabangsa.– Gambar AFP, 11 Mei, 2021.

CHINA akan terus berusaha untuk menggalakkan pengagihan vaksin secara adil di negara membangun dan menyumbang kepada usaha pembendungan wabak, kata jurucakap Kementerian Luar Hua Chunying di Beijing pada Isnin.

Menurut Hua, merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebresyesus baru-baru ini, vaksin Covid-19 dibangunkan Kumpulan Farmaseutikal Nasional China (Sinopharm) mempunyai bukti yang mencukupi dalam aspek keselamatan dan keberkesannya.

China akan menyediakan 10 juta dos vaksin kepada Rancangan Pelaksanaan Vaksin Covid-19 (Covax) untuk penggunaan kecemasan di negara membangun dan sedang membincangkan perkara tersebut dengan WHO.

Hua menyeru negara yang berkemampuan supaya dapat bertindak secepat mungkin untuk menggalakkan pengagihan dan penggunaan vaksin secara adil kepada masyarakat antarabangsa.

WHO meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 yang dibangunkan Sinopharm baru-baru ini, sekali gus meletakkan vaksin buatan China itu ke dalam senarai penggunaan kecemasaan WHO, serta menjadi satu-satunya vaksin dihasilkan negara bukan Barat. – Bernama, 11 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen