KERAJAAN PAS di Terengganu sudah menunaikan 14 daripada 20 janji pilihan raya sepanjang tiga mentadbir negeri itu sejak menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.
Janji itu berjaya dikotakan biarpun dalam keadaan ekonomi mencabar dan pandemik Covid-19, katanya.
Samsuri juga mensasarkan empat lagi agenda manifesto PAS Terengganu akan dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.
“Sebanyak 70% manifesto telah dilaksanakan iaitu 14 daripada 20 manifesto malah melalui Jawatankuasa Induk Manifesto Negeri Terengganu meletak akhir 2021 ini tambahan empat lagi agenda manifesto akan dilaksanakan.
“Ini menjadikan jumlahnya 18 daripada 20 manifesto atau 90%,”katanya dalam perutusan khas sempena tiga tahun pentadbiran PAS di Terengganu, malam tadi.
Dalam ucapannya, Samsuri turut menjawab beberapa kritikan terhadap pentadbirannya berhubung “pemotongan” dana yang pernah diberikan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Beliau memberi contoh dana raya yang kini diberi secara bersasar kerana pengagihannya sebelum ini yang tidak adil dan menyeluruh apabila dibuat mengikut puak.
“Berat hati saya untuk berterus terang kerana bukan kegembiraan saya untuk menyalahkan mana-mana pihak,” katanya.
Pentadbiran BN sebelum ini memberikan dana raya antara RM300 dan RM400 kepada keluarga yang layak untuk meringan beban menyambut Hari Raya Aidilfitri, dengan peruntukan hampir RM99 juta setiap tahun.
Pemberian dana raya ini diatur semula sejak PAS mengambil pentadbiran negeri pada Mei 2018.
“Saya percaya apabila ada keadaan sesuai nanti satu bentuk pengagihan lebih baik dan adil akan diberi dengan tujuan gerakkan ekonomi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Samsuri berkata pentadbiran BN sebelum ini ibarat rumah yang nampak cantik di luar tetapi usang di dalamnya.
Katanya, keadaan “usang di dalam” itu memberikan cabaran kepada kerajaan negeri untuk meneruskan bantuan kewangan kepada rakyat seperti sebelum ini sehingga memaksanya untuk menyusun semula pengagihan bantaun secara bersasar.
“Cabaran tentu besar umpama beban tidak lepas dari bahu mewarisi kerajaan lalu, seperti pepatah Melayu bagai denai gajah lalu dikira dagang berlaba, kiranya pokok termakan.
“Rumah yang dilihat cantik dari luarnya (tetapi) usang di dalamnya, bocor di atap.
“Semua ini perlu ditangani satu persatu dengan cermat dan ada juga melibatkan implikasi undang- undang bukan kepalang nilai besarnya kepada kerajaan,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan PAS akan terus memenuhi keperluan 1.2 juta rakyat negeri itu namun ia akan dibuat mengikut keutamaan.
Sementara itu, Samsuri juga berkata PAS tegas mempertahankan politik matang dan sejahtera antara parti Islam itu dengan Umno dan BN.
Pada PRU14, PAS menawan Terengganu apabila menang 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. – 11 Mei, 2021.
Komen