KADAR kebolehjangkitan Covid-19 kini 1.13, tinggi sedikit daripada kadar awal minggu ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 10 Mei 2021 untuk seluruh negara adalah 1.13,” katanya di Twitter.
Kadar itu biarpun rendah berbanding 1.14 pada 8 Mei namun masih tinggi sejak 29 April.
Noor Hisham berkata Kedah mencatatkan kebolehjangkitan pada kadar 1.31, diikuti Terengganu 1.28 dan Pulau Pinang 1.23.
Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 10 hb Mei 2021 untuk seluruh negara adalah 1.13. Manakala pecahan mengikut negeri adalah seperti di lampiran. pic.twitter.com/Y1A2zPjsQ5
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) May 10, 2021
Semua negeri dan wilayah di Semenanjung Malaysia mencatatkan kebolehjangkitan pada kadar lebih 1.0, kecuali Kelantan yang dibaca pada kadar 0.98.
Perlis dan Labuan semalam mengesan masing-masing hanya tiga jangkitan baharu Covid-19.
Sabah dan Sarawak pula mencatatkan kadar kebolehjangkitan kurang daripada 1.0.
Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, kadar kebolehjangkitan paling tinggi setakat ini dikesan pada April 17 iaitu 1.19 sementara yang terendah pada 13 Januari dan 3 Mac iaitu 0.81.
Semalam Kementerian Kesihatan mengesan 3,807 lagi kes baharu Covid-19, menjadikan keseluruhan kes kini 444,484 sejak pandemik ini mula dikesan di Malaysia pada hujung Januari 2020.
Daripada jumlah itu 37,396 kes masih aktif dengan 434 dirawat di unit rawatan rapi dan 224 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Jangkitan harian terbanyak semalam dikesan di Selangor sebanyak 1,149 kes, meletakkan negeri itu di senarai harian negeri paling atas untuk hari ke-18 berturut-turut. – 11 Mei, 2021.
Komen