AS benarkan vaksin Pfizer untuk budak 12 hingga 15 tahun


FDA memberikan kebenaran penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun. – Gambar EPA, 11 Mei, 2021.

PENTADBIRAN Makanan dan Ubatan AS (FDA) pada Isnin membenarkan penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.

Pemangku Pesuruhjaya FDA, Janet Woodcock menyifatkan ia sebagai “langkah penting dalam memerangi pandemik Covid-19.”

“Langkah hari ini memungkinkan penduduk lebih muda dilindungi daripada Covid-19, membawa kita lebih dekat untuk kembali kepada keadaan normal dan untuk mengakhiri wabak,” kata Woodcock dalam satu kenyataan.

“Ibu bapa dan penjaga boleh yakin bahawa agensi sudah melakukan kajian teliti terhadap semua data yang ada, kerana kami memperoleh semua kebenaran penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 kami,” tambahnya.

FDA sebelumnya memberikan kebenaran penggunaan kecemasan vaksin Pfizer-BioNTech kepada individu berusia 16 tahun ke atas.

“Mempunyai vaksin yang dibenarkan untuk populasi lebih muda adalah langkah penting untuk terus mengurangkan beban kesihatan awam yang sangat besar disebabkan oleh pandemik Covid-19,” kata Peter Marks, pengarah Pusat Penilaian dan Penyelidikan Biologi FDA.

FDA berkata kira-kira 1.5 juta kes Covid-19 di individu berusia 11 hingga 17 tahun dilaporkan kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS antara 1 Mac 2020 dan 30 April 2021.

Penyakit ini pada umumnya lebih ringan terhadap kanak-kanak tetapi mereka boleh menyebarkannya kepada orang dewasa yang lebih tua dan rentan.

Pfizer dan rakan kongsinya BioNTech berkata pada Mac yang vaksin dua dos mereka terbukti selamat dan sangat berkesan dalam percubaan melibatkan 2,260 kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.

Presiden Joe Biden minggu lalu menekankan pentingnya memperluaskan vaksinasi kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun dan berkata pihak berkuasa “bersedia untuk segera bergerak” selepas kebenaran itu diperoleh.

Sebanyak 20,000 farmasi di seluruh negara sudah bersedia memberi vaksin kepada remaja, katanya, dan dos juga akan dihantar kepada pakar pediatrik.

Vaksin Covid-19 daripada Moderna dan Johnson & Johnson juga mendapat kebenaran penggunaan kecemasan daripada FDA tetapi hanya untuk individu berumur 18 tahun ke atas. – AFP, 11 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen