PM Nepal kalah undi percaya


Pekerja kesihatan membawa mayat mangsa Covid-19 untuk di bawa ke tebing sungai Bagmati di kuil Pashupati di Kathmandu, Nepal. – Gambar EPA, 10 Mei, 2021.

PERDANA Menteri Nepal, KP Sharma Oli kehilangan undi percaya pada Isnin, mencetuskan ketidakpastian politik baharu ketika negara Himalaya itu cuba keluar dari pandemik Covid-19.

Oli, 69, memutuskan untuk mendapatkan undi percaya setelah berbulan-bulan bertengkar sesama parti komunis dan rakan gabungannya.

“Sekiranya anda mahukan Parlimen yang stabil, anda harus memilih kelangsungan kerajaan ini,” katanya dalam ucapannya kepada badan perundangan sebelum pengundian.

Bagaimanapun bekas tahanan politik itu hanya dapat memperoleh 93 undi percaya di Parlimen berbanding 136 yang diperlukan.

Lebih daripada 120 ahli Parlimen memilih menentang dan hampir dozen pemimpin dari parti Oli sendiri tidak mengundi.

Menurut prosedur, presiden sekarang akan meminta parti-parti mengusulkan calon baharu, yang disokong majoriti.

Nepal dilanda kekacauan selama berbulan-bulan setelah Oli membubarkan Parlimen pada Disember, menuduh anggota Parti Komunis Nepal (NCP) tidak bekerjasama.

NCP dibentuk pada 2018 hasil gabungan antara parti komunis Oli CPN-UML dan Parti Komunis Nepal (Maoist-tengah) dibentuk bekas pemimpin pemberontak Pushpa Kamal Dahal.

Dua bulan kemudian, Mahkamah Agung membuka semula Parlimen. Parti pemerintah terpecah dua.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Oli mendapat kritikan hebat atas pengendaliannya melawan pandemik ketika gelombang kedua melanda Nepal, dengan separuh penduduknya diuji kembali positif.

Namun, ianya lebih kepada pertikaian politik berbanding menangani wabak yang menyebabkan beliau kehilangan undi percaya.

Pada Isnin, Nepal melaporkan 9,127 kes, peningkatan tertinggi. Hampir 4,000 orang maut sejak wabak itu bermula, menurut angka rasmi.

“Kedua-dua Parlimen dan kerajaan gagal menangani krisis Covid-19 di negara ini. Sebaliknya, mereka terlibat dalam permainan politik ketika kebanyakan warga berjuang untuk mendapatkan tabung oksigen dan tempat tidur hospital,” kata Gunaraj Luitel, editor akhbar Nagarik.

Kemenangan NCP terhadap calon Parti Kongres Nepal dalam pilihan raya pada 2017 telah dilihat sebagai langkah terakhir dalam transformasi Nepal setelah perang saudara menjadi republik.

Perikatan rapuh telah terjalin antara tiga parti dominan Nepal sejak 2008, dan ada harapan kerajaan majoriti akan membawa kestabilan dan pembangunan yang sangat diperlukan untuk negara. – AFP, 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen