PKPD ditamatkan di enam kawasan


Alfian Z.M. Tahir

PKPD ditamatkan kerana jangkitan sudah terkawal, selain mengikut nasihat Kementerian Kesihatan, kata Ismail Sabri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2021.

PUTRAJAYA telah menarik semula Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) di enam kawasan setelah jangkitan Covid-19 di situ sudah terkawal, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Enam kawasan tersebut adalah Maahad Tahfiz Al-Azhari (MTAZ) di Machang, Kelantan; Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan; PPR Batu 2 Lrg Habib Abdul Rahman dan PPR Bt 8 Jalan Apas, Tawau, Sabah; Kompleks Abedon (Bumiwealth, Kolopis dan Tanaki), Kinabatangan, Sabah dan SMK Ulu Balingian, Sibu, Sarawak.

“Di Maahd Tahfiz Al-Azhari, 137 kes dikesan. Kes terakhir dilaporkan adalah pada 4 Mei dan kes telah menurun.

“Di Gemas, 61 kes dikesan dan kes terakhir juga dikesan pada 4 Mei,” katanya.

PKPD di sekolah agama dan kampung Gemas berakhir hari ini.

Ismail Sabri turut berkata PKPD di PPR Batu 2 Lrg Habib Abdul Rahman dan PPR Bt 8 Jalan Apas, Tawau, Sabah akan berakhir esok.

“Kami dapati 26 kes di PPR Batu 2 Lrg Habib Abdul Rahman dan 30 kes di PPR Batu 8 Jalan Apas.

“Tidak ada lagi sampel yang akan diuji dan kadar jangkitan terkawal,” kata Ismail Sabri.

Kompleks Abedon (Bumiwealth, Kolopis & Tanaki), Kinabatangan di Sabah dan SMK Ulu Balingian, Sibu di Sarawak juga mencatatkan penurunan jumlah kes baharu.

Ismail Sabri berkata, Putrajaya bersetuju menamatkan PKPD seperti dijadualkan di kedua-dua kawasan itu, mengikut nasihat Kementerian Kesihatan.

“37 kes baharu ditemui di Kompleks Adebon dan 239 kes di SMK Ulu Balingian.

“Keadaan Covid-19 terkawal di kedua-dua tempat,” katanya.

PKPD di kedua tempat itu berakhir esok. – 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen