IRELAND pada Isnin menarik sekatan perjalanan domestik dan memulakan pembukaan semula peruncit bukan keperluan penting secara bertahap dalam usaha melonggarkan sekatan pandemik.
Setelah lebih lima bulan di bawah perintah sekatan kuat, larangan perjalanan antara daerah akhirnya ditarik bagi membolehkan warganya bebas bergerak di seluruh Republik Ireland.
Sementara itu, pendandan rambut dan perkhidmatan peribadi lain, serta kedai-kedai yang tidak penting, diizinkan beroperasi tetapi berdasarkan “janji temu” sahaja.
Galeri, muzium, perpustakaan dan tarikan budaya lain juga diizinkan buka kepada orang ramai.
Sekitar 12,000 perniagaan akan dibuka kembali minggu ini, menurut timbalan perdana menteri Leo Varadkar, juga memgang menteri perusahaan dan perdagangan.
“Ini adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh peniaga di seluruh Ireland,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ini adalah penutupan terpanjang sejak pandemik bermula. Saya bertekad untuk buat semua yang kami mampu untuk pastikan ini adalah yang terakhir.”
Isnin depan perniagaan runcit akan dibuka sepenuhnya dan kerajaan menganggarkan 100,000 pekerja akan kembali bekerja sepanjang bulan ini.
Bagaimanapun Varadkar berkata pekerja sebolehnya “bekerja dari rumah”.
Ireland, negara berpopulasi lima juta itu telah dicengkam dengan 4,921 kematian akibat Covid-19 menurut angka rasmi terkini.
Setelah sekatan dilonggarkan pada Disember, kes-kes melonjak dan buat sementara waktu pada Januari negara itu mencapai kadar jangkitan tertinggi di dunia, menurut data Universiti Oxford.
Ireland memasuki sekatan ketiganya hujung tahun 2020 dan program vaksinasi negara pada mulanya lambat kerana bekalan vaksin tidak mencukupi.
Bagaimanapun kira-kira 1.8 juta dos vaksin kini telah diberikan di seluruh negara itu, menurut data perkhidmatan kesihatan rasmi dikemas kini pada Jumaat.
Pada Ahad, Perdana Menteri Micheal Martin menerima dos pertama AstraZeneca di bandarnya, Cork. – AFP, 10 Mei, 2021.
Komen