SINGAPURA mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan di pelabuhan selepas empat pekerja dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 10 hari.
Menurut Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Maritim (MPA) Singapura, pihaknya bersama operator pelabuhan PSA Singapura, sedang berunding dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkara itu.
“Ia sebagai tambahan kepada langkah keselamatan vaksinasi, jadual ujian rutin dan langkah pengurusan selamat (SMM) sedia ada seperti ditetapkan MPA dalam pekeliling pelabuhan,” kata MPA dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut MPA langkah tambahan itu termasuk kekerapan ujian rutin daftar pekerja asrama barisan hadapan yang akan ditingkatkan dari 14 hari kepada tujuh hari untuk mengesan kes Covid-19 lebih awal.
“Melihat kepada peningkatan risiko penularan, ia tertakluk kepada pekerja yang sudah dan belum divaksin,” katanya.
MPA mengingatkan semua operator pelabuhan, pekerja dan pengguna untuk mematuhi SMM yang ditetapkan.
“Pelabuhan kita sangat penting untuk melindungi bekalan Singapura dan rantaian bekalan global. Penting untuk memastikan pelabuhan itu dapat terus beroperasi bagi kapal-kapal yang masuk ke Singapura,” katanya.
MPA juga akan terus bekerjasama dengan operator pelabuhan dan perkapalan untuk mengkaji dan memperkuat SMM bagi meminimumkan risiko penularan.
Pada 1 Mei, KKM mengumumkan dua pekerja yang telah divaksin di Terminal Pasir Panjang dan tinggal di asrama di Pasir Panjang Residence disahkan positif Covid-19 semasa ujian rutin dan pengesanan kontak.
Kedua-duanya tidak menunjukkan simptom, kata MPA.
Ekoran kes ketiga dan keempat yang melibatkan pemandu treler dan pembantu operasi, MPA, KKM dan PSA memulakan operasi ujian saringan khas terhadap hampir 4,000 pekerja pelabuhan itu.
Mereka termasuk pemandu trak, penyelia, pengendali kren, jurutera, pekerja pembersihan, pemandu bas ulang-alik, pengusaha kantin dan kakitangan pejabat.
Sehingga 3 petang Ahad, 2,750 daripadanya disahkan negatif.
Sementara itu, di bawah Program Vaksinasi Laut-Udara (SAVE), lebih 32,800 anggota maritim termasuk pekerja pelabuhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Kira-kira 25,500 telah divaksin sepenuhnya, termasuk lebih 18,70 atau 97% pekerja barisan hadapan yang terdedah kepada risiko.
“Sebanyak 6,000 anggota maritim lain akan diberi vaksin dalam beberapa minggu lagi,” kata MPA. – Bernama, 10 Mei, 2021.
Komen