ORANG awam tidak dibenarkan datang ke pusat pengagihan vaksin (PPV) AstraZeneca untuk mendapat suntikan dos yang tidak digunakan, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata suntikan hanya akan diberikan kepada mereka yang sudah memberikan nama dalam senarai menunggu.
“Setiap hari, nama dalam senarai menunggu akan diberikan kepada PPV AstraZeneca.
“Mereka yang berada dalam senarai ini akan diberi notis di aplikasi MySejahtera yang mengatakan sudah dimasukkan dalam senarai menunggu janji temu pada tarikh tertentu.
“Jika ada kekosongan, pegawai dari PPV akan memanggil mereka yang berada dalam senarai menunggu. Sekiranya tidak dipanggil, jangan pergi ke PPV.
“Kami tidak benarkan masuk,” kata Khairy pada sidang media mingguannya mengenai kempen vaksinasi.
Menteri sains, teknologi dan inovasi berkata pada masa ini terdapat kira-kira 60,000 yang memberikan nama mereka dalam senarai menunggu kerana semua 268,800 slot sudah penuh beberapa jam selepas sistem tempahan dalam talian dibuka pada 2 Mei.
Menurut beliau, kadar kehadiran untuk janjitemu AstraZeneca pada masa ini adalah 98%.
Khairy berkata mereka yang menerima notis MySejahtera dan dipanggil hadir di PPV hanya perlu menunjukkan pemberitahuan itu kepada anggota polis di sekatan jalan raya agar dibenarkan meneruskan perjalanan.
Khairy berkata mendapatkan pengganti bagi vaksin yang tidak digunakan adalah penting untuk mengelakkan pembaziran.
Beliau juga berkata mereka yang berada dalam senarai menunggu yang tidak dapat hadir walaupun dipanggil tidak perlu bimbang kerana nama mereka sudah didaftarkan untuk program imunisasi perdana.
Pada Sabtu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata dos vaksin AstraZeneca yang tidak digunakan akan diberikan kepada mereka yang berada dalam senarai menunggu dan “walk in”.
Beliau berkata ada kes di mana calon didapati tidak sesuai menerima vaksin selepas penilaian perubatan dan individu tidak hadir janji temu.
Sehingga hari ini, sebanyak 19,718 dos vaksin AstraZeneca diberikan sejak permulaan program pilihan sukarela lima hari yang lalu. – 10 Mei, 2021.
Komen