Hampir 3,000 temu janji suntikan vaksin di WTCKL dijadual semula, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Hampir 3,000 temu janji untuk vaksinasi AstraZeneca yang ditetapkan pada 15 dan 16 Mei ini di WTCKL akan dijadual semula, kata Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2021.

HAMPIR 3,000 temu janji untuk vaksinasi AstraZeneca yang ditetapkan pada 15 dan 16 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) akan dijadual semula, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata tarikh baharu terpaksa diberikan kepada 2,800 bakal penerima vaksin untuk mengelakkan kesesakan di pusat pemberian vaksin itu.

“Pada awalnya 19,00 temu janji ditetapkan bagi dua tarikh ini.

“Tetapi sekarang akan dikurangkan kepada 16,200 untuk elak kesessakan.

“Baki 2,800 individu akan diberikan tarikh temu janji baharu,” kata Khairy pada sidang media mingguan mengenai perkembangan program vaksin negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata tarikh baharu untuk 2,800 orang ini akan ditetapkan antara 17 hingga 23 Mei.

Jelas beliau, perubahan tarikh itu akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera bermula esok.

Pada masa sama, Khairy memberitahu pihak pasukan petugas imunisasi Covid-19 akan menambah ruang di WTCKL bagi memastikan penjarakan fizikal dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik.

Ditanya mengenai pusat vaksinasi yang tidak beroperasi sepanjang minggu, Khairy menafikan puncanya kerana kurang kakitangan.

“Isunya bukan kurang kakitangan tetapi bekalan vaksin.

“Apabila kita ada cukup bekalan vaksin, kita akan lanjutkan operasi daripada 6 hari kepada 7 hari seminggu,” katanya.

Khairy juga memberitahu setakat ini sebanyak 19,178 dos vaksin AstraZeneca diberikan di bawah program vaksinasi secara sukarela, dengan lebih 60,000 masih diletakkan dalam senarai menunggu.

Secara keseluruhan juga tiga daripada empat atau 75% vaksin telah digunakan, tambahnya. – 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen