Korban hari raya untuk lawan Covid-19, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

DR Mahathir Mohamad berkata rakyat Malaysia perlu meningkatkan kawalan diri mencegah penularan Covid-19 terutama di tengah keinginan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2021.

DR Mahathir Mohamad menyeru rakyat Malaysia supaya bersabar dan meningkatkan kawalan diri mencegah penularan Covid-19 terutama di tengah keinginan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba minggu ini.

Katanya, penularan Covid-19 kini sudah semakin serius dan mula memberi tekanan kepada hospital dan pihak pengurusan kesihatan.

“Kalau kita tidak berjaga-jaga kita akan jadi seperti India dan Brazil di mana ratusan ribu orang mendapat jangkitan setiap hari. Mereka tidak mampu jaga dan rawat mereka yang jatuh sakit, ramai yang dibiar begiru saja dan kebanyakannya meninggal (dunia).

‘Ini boleh berlaku di Malaysia kalau kita tidak berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan khas yang disampaikan melalui video di Facebook dan YouTube, pagi ini.

Dr Mahathir merayu orang ramai supaya patuh kepada nasihat dan panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan untuk mengelak jangkitan Covid-19, termasuk tidak keluar rumah jika tidak perlu.

“Saya rayu kepada semua rakyat kita, tak kira kaum tak parti tak kira apa… tolonglah, kita kurangkan kemungkinan kita dijangkiti penyakit ini dengan kita patuh pada SOP.

“Kalau boleh kita tinggal di rumah saja,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau tidak ke masjid kerana melihat banyak orang tidak mematuhi SOP semasa masuk dan keluar dari masjid, selain banyak juga menghampirinya bertanya khabar dan bergambar.

Setakat tengah hari semalam, Malaysia mencatatkan 26 kes kematian di tujuh negeri akibat Covid-19 iaitu angka kematian harian tertinggi sejak wabak itu melanda lebih setahun yang lalu.

Kementerian Kesihatan sehingga semalam mengesan 3,733 kes baharu jangkitan Covid-19. Angka ini kurang daripada jumlah yang dikesan pada dua hari sebelumnya yang mencecah lebih 4,000. 

Menurut Dr Mahathir, kes Covid-19 meningkat begitu tinggi kerana orang ramai tidak menjaga diri sehingga berdekatan dengan orang lain.

“Disiplin dan kesanggupan diri untuk kawal diri kita, amat penting. Walaupun ada polis dan orang lain yang berjaga-jaga tetapi tidak mampu mereka jaga semua orang.

“Kitalah kena jaga diri kita, kalau tidak jumlah pesakit Covid-19 ini akan bertambah dengan pesat,” katanya.

Beliau menyebut bagaimana satu kes jangkitan boleh seterusnya menjangkiti sehingga lebih 2,000 orang lain, termasuk mengakibatkan antaranya meninggal dunia.

“Itu sebab arahan supaya pada hari raya ini kita tidak berkumpul amat penting dipatuhi. Tidak perlulah kita buat lawatan ke rumah kawan dan sanak saudara kerana itu bukanlah satu lawatan yang baik, mungkin kita atau mereka akan dijangkiti.

“Kita perlu sabar dalam hari raya tahun ini kerana kita mahu penyakit ini dikurangkan dengan tindakan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menasihati para peniaga agar akur dan faham bahawa sekarang ini bukan masanya untuk memikirkan tentang bazar kerana penganjuran bazar boleh menyebabkan penularan jangkitan.

Namun beliau menggesa kerajaan agar memberi perhatian kepada peniaga yang terjejas.

“Kita kena tabah hati, bersabar dan berkorban sedikit. Saya harap pihak kerajaan dapat membantu mereka yang tiada makanan, wang dan sebagainya supaya penderitaan rakyat dapat dikurangkan,” katanya.

Dr Mahathir mengingatkan rakyat bagaimana penularan Covid-19 pernah dapat dikurangkan sehingga kepada dua angka, seperti semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama setahun yang lalu. – 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen