KEMENTERIAN kesihatan mengesan 13 kluster baharu Covid-19 dalam 24 jam terakhir, menjadikan jumlah kluster aktif di negara ini sebanyak 436, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata jumlah kumulatif kluster sejak pandemik bermula sebanyak 1,788, namun sejumlah 1,352 telah tamat.
Noor Hisham berkata, jangkitan di tempat kerja dan komuniti masing-masing melaporkan lima kluster, sementara dua adalah kluster agama dan satu daripadanya berasal dari sektor pendidikan.
Noor Hisham berkata, kluster tempat kerja Kawasan Industri Dua di Muar, Johor melaporkan jumlah kes tertinggi di antara kluster dikesan hari ini dengan 100 orang diuji positif.
Kluster tempat kerja lain adalah tapak pembinaan Jalan Tun Hussien Onn (51 kes) dan Kopitiam Kampung Selamat (19 kes) di Pulau Pinang, sementara Jalan Satu (15 kes) dan Lorong Tiung (25 kes) di Selangor.
Kluster komuniti adalah Jalan Stadium Negeri (17 kes), Tebedu Mawang (21 kes) di Sarawak, Sri Tualang di Kelantan (27 kes), Jalan L Sungai Behrang di Perak (17 kes) dan Lak Lok merebak di Terengganu dan Kelantan (26 kes).
Dua kluster agama itu ialah Jalan Haji Mahmud di Johor dengan 14 kes dan Tanah Merah di Negeri Sembilan dengan 41 kes positif.
Kluster pendidikan dikesan di sebuah sekolah kerajaan di Pulau Pinang, Desa Murni, di mana 29 orang didapati positif. – 9 Mei, 2021.

Komen