PUSAT vaksinasi di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (SPCC) akan dibuka seperti biasa walaupun penutupan pusat beli belah itu yang dikenalpasti sebagai lokasi panas Covid-19, kata pihak pengurusan.
Pusat beli belah Sunway Pyramid Mall akan ditutup bermula hari ini sehingga 11 Mei.
“SPCC akan dibuka untuk temu janji vaksinasi walaupun berlaku penutupan sementara (pusat beli belah),” kata pihak pengurusan menerusi satu kenyataan di Facebook.
SPCC yang terletak dalam bangunan Sunway Pyramid Mall, menjadi pusat vaksinasi swasta berskala besar pertama di Malaysia.
Ia juga merupakan pusat vaksinasi utama di daerah Petaling Jaya.
Pusat beli belah itu antara 150 lokasi panas yang dikenal pasti menerusi Sistem Pengecaman Lokasi Panas bagi Libat Urus Dinamik.
HIDE dilancarkan awal minggu ini sebagai pusat data dan sistem pintar bagi mengenalpasti lokasi berisiko tinggi supaya tindakan pantas diambil bagi mengekang pandemik itu.
Susulan pengumuman senarai itu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata premis yang dikenalpasti sebagai lokasi panas akan diarahkan tutup selama tiga hari dengan serta-merta. – 9 Mei, 2021.
Komen