MALAYSIA mencatatkan 26 kematian akibat Covid-19 walaupun angka kes baharu menurun kepada 3,733 kes dalam tempoh 24 jam lepas.
Ini selepas dua hari Malaysia merekodkan kes Covid-19 harian lebih 4,000.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka kematian tertinggi direkodkan sebelum ini adalah seramai 25 orang pada 8 Mei dan 18 Februari lalu.
Beliau berkata Selangor masih merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,278 kes diikuti Sarawak (454), Johor (365) dan Kuala Lumpur (338).
Ini merupakan hari ke-17 berturut-turut Selangor menjadi negeri paling banyak mencatatkan kes jangkitan.
Pulau Pinang pula mencatat 280 kes, Kelantan (254), Negeri Sembilan (205), Kedah (176), Pahang (100), Perak (80), Sabah (61), Melaka (66), Putrajaya (20), Labuan (enam), dan Perlis hanya satu kes.
Selangor juga mendahului senarai negeri paling banyak kes terkumpul dengan 143,270, disusuli Sabah (58,857) dan Johor (47,971).
Secara keseluruhannya, Malaysia merekodkan jumlah kes terkumpul sebanyak 440,677 kes. – 9 Mei, 2021.

Komen