Sistem HIDE susahkan banyak pihak, luah pengguna media sosial


Sebuah pasar raya ditutup tiga hari susulan pemakluman daripada sistem HIDE tentang risiko penularan Covidi-19 di kawasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2021.

PENGGUNA media sosial menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) yang disifatkan sebagai menyusahkan banyak pihak, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya.

Sistem HIDE dikatakan mampu mencegah pembentukan kluster Ccovid-19 baharu sekiranya penyenaraian lokasi yang dikenal pasti diambil tindakan awal oleh pihak berkuasa, pemilik premis dan orang awam.

Bukan saja pengguna media sosial yang marah dengan sistem itu tetapi begitu juga persatuan peruncit dan pusat beli belah ayng meminta Putrajaya menangguhkan segera pengumuman mengenai maklumat yang diperoleh daripada HIDE sehingga asas yang jelas, tepat dan terperinci betul disertakan dengan maklumat yang dikeluarkan.

Gesaan itu dibuat oleh tiga persatuan yang mewakili pusat beli-belah dan industri peruncitan di seluruh negara dalam kenyataan bersama hari ini iaitu Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

“Kami percaya bahawa memandangkan terdapat maklumat tidak tepat dalam senarai ‘hotspot,’ cadangan penutupan untuk sanitasi adalah sesuatu yang pramatang dan akan mendatangkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap persepsi serta pemulihan dan kelangsungan perniagaan.

Semalam Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata semua premis disenaraikan sebagai kawasan panas (hotspot) Covid-19 dalam sistem HIDE juga telah diarahkan tutup selama tiga hari dengan serta-merta.

Langkah-langkah pencegahan seperti penilaian risiko akan diambil dalam tempoh tiga hari itu.

“Premis yang disenaraikan oleh sistem Hide dan dikenal pasti sebagai lokasi yang berisiko penularan Covid-19 akan diperintahkan tutup selama tiga hari dengan serta-merta,” katanya.

“Saya sudah hantar baju raya anak untuk dijahit Aeon Big di Bandar Tun Hussein Onn dan patut ambil beberapa hari lagi tapi kini kawasan itu disenaraikan di bawah HIDE,” kata pengguna Twitter @nrjwznl.

“Mana lagi saya nak cari baju lain untuk anak? Raya hari Khamis ini,” tambahnya.

Sementara itu, seoarang lagi pengguna Twitter @AlawiyahYussof berkata dia dan ibunya terpaksa ke pasar Pudu di Kuala Lumpur untuk mendapatkan daging yang ditempah kerana pasar itu diletakkan di bawah HIDE.

“Ini adalah gila, sangat gila! Kami menempah daing dan ayam dari pengusaha di pasar pudu dan sepatutnya ambil pada Selasa. Tapi pagi ini, adik saya telefon maklumkan pasar itu akan tutup mula esok selama lima hari. Ini disebabkan maklumat daripada HIDE,” katanya.

“Peniaga juga barang mereka macam nak sedekah, cuba habiskan stok sebanyak mungkin. Ibu dan saya tergesa-gesa ke pasar dan menempuh kesesakan trafik.

“Ini memang gila. Kenapa saat akhir baru maklum sebab menteri kata, maklumat daripada HIDE tidak menunjukkan wujudnya kluster. MySejahtera juga tidak memberi sebarang makluman.

“Bukan saja peniaga terjejas, kami juga. Di mana kami nak dapatkan barang untuk beraya?” soalnya.

Katanya keputusan minit akhir menyebabkan banyak masalah kepada mereka yang mahu menempah stok dan merancang untuk menyediakan masakan sempena Aidilfitri.  – 9 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen