SEBAHAGIAN besar serpihan roket China jatuh kembali ke atmosfera bumi dan hancur di Lautan Hindi pada Ahad, kata agensi angkasa China, berikutan spekulasi di mana objek 18 tan itu akan jatuh.
Para pegawai di Beijing berkata cuma sedikit risiko segmen roket Long March-5B, yang melancarkan modul pertama stesen angkasa baharu China ke orbit Bumi pada 29 April.
Bagaimanapun agensi angkasa Amerika Syarikat Nasa dan beberapa pakar berkata tindakan China itu tidak bertanggungjawab, kerana objek besar seperti itu sangat berisiko untuk menyebabkan korban nyawa dan kerosakan lain.
“Setelah pemantauan dan analisis, pada pukul 10:24 (0224 GMT) pada 9 Mei 2021, bangkai roket Yao-2 Long March 5B telah memasuki atmosfera,” kata Pejabat Kejuruteraan Angkasa China dalam satu kenyataan, memberikan koordinat di Lautan Hindi berhampiran Maldives.
Ia menambah sebahagian besar serpihan hancur semasa turun ke bumi.
Cawangan angkasa tentera AS berkata roket itu “masuk semula ke atas Semenanjung Arab sekitar jam 10:15 malam (EDT) pada 8 Mei (0215 GMT Ahad)”.
“Tidak diketahui apakah serpihan itu memberi kesan terhadap permukaan bumi.”
Perkhidmatan pemantauan Space-Track, yang menggunakan data ketenteraan AS, berkata lokasi di Arab Saudi adalah tempat di mana sistem terakhir AS merekodkannya.
“Pengendali mengesahkan roket itu sebenarnya masuk ke Lautan Hindi di utara Maldives,” tweetnya.
Kejatuhan serpihan itu sesuai dengan ramalan pakar bahawa ianya akan jatuh ke laut, memandangkan 70 peratus planet ini diliputi air.
Kerana kejatuhannya tidak terkawal, terdapat pelbagai spekulasi dari banyak pihak tentang di mana serpihan itu akan jatuh.
Pihak berkuasa angkasa AS dan Eropah antara yang mengesan roket itu dan berusaha menjejaki kemasukan semula objek itu. – AFP, 9 Mei, 2021.
Komen