KKM syor sektor pendidikan cuti lebih lama


Ravin Palanisamy

Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia menunggu di dewan sebelum bertolak pulang ke rumah masing-masing. Hari ini Ketua Pengarah Kesihatan mengesyiorkan sektor pendidikan memanjangkan cuti berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Mei, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan akan mengesyorkan penutupan lebih lama untuk sektor pendidikan sehingga akhir bulan ini bagi membendung penularan Covid-19 baharu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu, bagaimanapun, tidak menyatakan apakah cadangan ini akan merangkumi sekolah dan juga institusi pengajian tinggi.

“Kami akan mengesyorkan agar dipanjangkan cuti sehingga akhir bulan untuk memastikan pelajar duduk di rumah dan mengekang penularan Covid-19.

“Satu lagi kebimbangan bagi pihak kementerian adalah akan ada perhimpunan sosial atau saudara-mara yang berkunjung semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Oleh itu, (cadangan) ini akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Jangkitan baharu meningkat dalam beberapa bulan terakhir, malah banyak kluster baharu melibatkan institusi pendidikan, termasuk sekolah.

Malaysia hari ini melaporkan hari kedua berturut-turut kes melebihi 4,000, setelah berminggu-minggu jangkitan harian pada 2,000 dan 3,000. 

Dr Noor Hisham juga memperingatkan bahawa kes harian boleh mencapai 7,000 pada penghujung Mei atau awal Jun, jika orang ramai masih enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bulan lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan rancangan untuk menutup sekolah dua hari setiap kali kes Covid-19 dikesan di sekolah.

Rancangan dua hari itu agar pihak berkuasa kesihatan dapat melakukan penilaian risiko, mengesan kontak rapat dan membersihkan premis, dengan keputusan untuk membuka semula sekolah oleh pejabat daerah kesihatan.

Kementerian Pendidikan turut mengumumkan semua sekolah akan ditutup selama dua minggu lagi selepas Hari Raya bagi mencegah kemungkinan penularan virus, dengan pelajar melakukan pembelajaran dalam talian dan dari rumah.

Menteri Pendidikan Dr Radiz Jidin berkata, semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan kembali ke kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) apabila sesi pendidikan disambung semula selepas cuti Hari Raya.

Ini bermaksud semua sekolah di seluruh negara akan menjalani PdPR selama 10 hari sehingga bermulanya cuti sekolah pertengahan tahun yang akan bermula pada 28 Mei untuk sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, dan 29 Mei untuk negeri lain. – 8 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen