Pembangunan sisih pengusaha hasil laut tradisi Seberang Takir


Diyana Ibrahim

Kini hanya dua pengusaha hasil laut yang wujud di Seberang Takir pada hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Mei, 2021.

PADA waktu kegemilangannya, pantai di Kampung Seberang Takir dipenuhi dengan rang untuk mengeringkan hasil laut secara tradisional bagi dijadikan ikan kering, bilis dan belacan.

Hasil laut itu menarik permintaan tinggi dan menjamin kelangsungan hidup seramai 30 pengusaha yang memacu ekonomi di kampung terletak di seberang Kuala Terengganu itu.

Ia turut menjamin rezeki untuk nelayan tradisi di Seberang Takir, namun kini perusahaan hasil laut itu hampir terkubur apabila hanya dua pengusaha yang wujud pada hari ini.

Seorang daripadanya, Alias Ismail memberitahu The Malaysian Insight, faktor modal dan kesan pembangunan membuatkan satu demi satu pengusaha menutup operasi.

Mereka juga tidak menerima sokongan dari kerajaan negeri yang menyebabkan perusahaan berkenaan hampir mati, kata Alias, 56.

Jelasnya, pengusaha sepertinya kini tidak mempunyai tempat untuk memproses hasil laut kerana kebanyakan tanah di kampung itu diambil untuk pembangunan.

Beliau merujuk kepada pembinaan jambatan angkat, masjid baharu dan juga jalan baharu pesisir pantai menghubungkan Seberang Takir dan daerah Kuala Nerus dengan dengan Kuala Terengganu.

Jalan baharu sepanjang kira-kira 10 kilometer dari jambatan angkat ke Teluk Ketapang itu memisahkan penduduk dengan pantai yang kini dibina benteng pemecah ombak.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, mereka juga berdepan dengan masalah untuk membina rang bagi menjemur hasil laut, yang memerlukan kos tinggi.

“Tiangnya kita guna buloh. Jadi kita rasa tak berbaloi nak bina rang macam dulu sebab dengan ikan tak banyak, kos tinggi.

“Ruang untuk jemur pun dah ada sekarang banyak dah kena ambil (tanah) buat jalan baru, buat masjid jadi sekarang mana saja tempat kosong kita jemurlah. Sudah terpaksa,” katanya.

Beliau berkata sepatutnya kerajaan memberi bantuan kepada kepada mereka supaya industri tradisional itu tidak harus terkubur begitu saja.

“Patutnya sediakanlah tempat kemudahan untuk pengusaha seperti kami membuat hasil ikan, contohnya sediakan ruang atau tempat untuk jemur ikan.

“Kalau tak beri bantuan 100%, 50% pun jadilah,” katanya.

Ruang yang terhad untuk menjemur hasil laut turut menjadi antara masalah yang dihadapi oleh pengusaha.– 12 Mei, 2021.

Ujarnya lagi situasi tersebut begitu mengecewakan kerana menunjukkan kerajaan seolah-olah terlepas pandang untuk membantu perusahaan yang tertua di kampung itu.

Beliau berkata, kelangsungan perusahaan hasil laut itu amat penting untuk dibantu kerana ia turut membantu nelayan tradisi untuk menjual hasil ikan mereka.

“Memang sedihlah sebab orang ingat perusahaan ini tak penting tapi kesannya besar.

“Walau sekarang ada tiga orang saja tangkap hasil laut, sekurang-kurangnya satu kapal perlukan 15 awak-awak. Kalau kita tak ada, nelayan ini semua hilang pekerjaan.

“Sebab itu kita tak tahu kenapa boleh kerajaan terlepas pandang, sedangkan perusahaan ikan kering ini perusahaan paling tua sekali di Seberang Takir, berbading buat keropok, batik.

“Orang perikanan pun tak tahu (jabatan) di Seberang Takir ini ada pengusaha ikan kering sedangkan pejabat perikanan tak sampai dua kilometer dari kampung,” katanya.

Seorang lagi pengusaha belacan dan ikan bilis, Mohd Aimy Shahril berkata beliau bimbang perusahaan tradisional itu akan mati begitu saja kerana tidak menarik minat golongan muda.

Aimy, 20, berkata hanya beliau seorang pelapis muda yang menyambung perusahaan diwarisi dari bapanya.

“Saya ambil alih perusahaan sejak saya dari umur 16 tahun lagi. Tapi yang lain perusahaan memang banyak dah tak ada tinggal tiga orang.

“Tapi seorang itu dah tidak aktif. Kiranya tinggal dua orang sebenarnya,” katanya.

Pemuda itu berpendapat, ramai generasi muda enggan menyambung perusahaan itu kerana bukan pekerjaan yang mudan dan tidak menjamin keuntungan besar.

“Keuntungan itu memang tak ada sangatlah sekarang berbanding dulu. Pada zaman ayah saya, masa itu memang jadi pengusaha ikan kering boleh buat duit

“Tapi sekarang kos semakin tinggi dengan bayar pekerja lagi, ikan pun semakin kurang.

“Contoh sekarang ini kos harian untuk buat belacan ikan bilis makan dalam RM1,500 dan hasil kita dapat dalam RM 2,500. Memang setakat cukup makan tak macam dulu,” katanya.

Tambahnya pengusaha tradisional sepertinya juga terkesan dengan pengusaha komersial yang lebih besar.

“Sebab itu memang memang bantuan dari kerajaan negeri diperlukan.

“Bila kita cakap bantuan ini bukan kewangan saja tapi pelan jangka masa panjang macam mana nak perusahaan tradisional ini terus hidup tidak mati begitu saja,” katanya.

Tambahnya, beliau bertekad untuk meneruskan perusahaan tradisi tersebut kerana minat mendalam.

“Walaupun susah tapi saya minat dari kecil lagi, jadi saya memang nak sambung perusahaan ini,” katanya. – 12 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen