Lebih 4,000 kematian di India, paus minta pengecualian paten Covid-19


Pengebumian besar-besaran di kubur mangsa Covid-19 di tempat pembakaran sementara di New Delhi, India. India kini menyumbang hampir separuh daripada kes harian baharu dunia, malah negara itu melaporkan 4,187 kematian baharu pada Sabtu. – Gambar EPA, 8 Mei, 2021.

KEMATIAN akibat Covid-19 melonjak melepasi 4,000 buat pertama kalinya di India pada Sabtu, terburuk di dunia, ketika paus meminta pengecualian hak paten bagi “membenarkan akses universal vaksin.”

Seruan pengecualian itu mendapat momentum setelah Amerika Syarikat mengumumkan sokongan mengejutkan terhadap langkah seperti itu membolehkan bekalan vaksin mencukupi untuk memerangi pandemik.

India kini menyumbang hampir separuh daripada kes harian baharu dunia menurut pangkalan data AFP, malah negara itu melaporkan rekod 4,187 kematian baharu pada Sabtu.

New Delhi telah berjuang mengekang pandemik itu, yang telah membanjiri sistem kesihatannya dan menimbulkan kemarahan rakyat terhadap salah urus.

“Kerajaan berkata ada banyak bekalan ubat-ubatan dan oksigen,” kata Brijesh Pandey menghabiskan berjam-jam setiap hari untuk mendapatkan oksigen untuk adik iparnya.

“Tetapi tengoklah macam mana beratus-ratus orang putus asa berjuang untuk menyelamatkan saudara dan ibu bapa mereka.”

India melaporkan lebih daripada 400,000 jangkitan baharu pada Sabtu, namun banyak pakar mengesyaki kematian rasmi dan jumlah kes jauh lebih rendah.

Peningkatan kes turut merebak sehingga negara jiran Bangladesh, Nepal dan Sri Lanka.

Jiran Pakistan memulakan langkah sekatan ketat selama sembilan hari menyasarkan tempat pelancongan semasa perayaan Aidilfitri yang akan datang.

Cuti Hari Raya biasanya menyaksikan orang ramai bergerak di seluruh negara dengan populasi 220 juta itu, dan kerajaan telah mengerahkan tentera membantu menguatkuasakan sekatan tersebut. – AFP, 8 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen