Malaysia boleh cecah 7,000 kes setiap hari, kata Noor Hisham


Ravin Palanisamy

Orang ramai menunggu untuk menerima vaksin AstraZeneca di pusat vaksinasi di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Mei, 2021.

MALAYSIA boleh mencecah hampir 7,000 kes Covid-19 setiap hari pada penghujung Mei atau awal Jun ini jika orang ramai tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata Malaysia pada mulanya dijangka akan mencatat sekitar 3,000 kes pada pertengahan Mei dan 5,000 kes pada akhir Mei.

Bagaimanapun, dengan kes harian melebihi 4,000, malah pada minggu pertama Mei, Noor Hisham berkata angka itu mungkin akan lebih drastik pada akhir bulan sekiranya orang ramai mengabaikan SOP.

“Dijangkakan Malaysia mencatat 5,000 kes pada penghujung Mei dan sekitar 3,000 kes pada pertengahan bulan.

“Tetapi sekarang, walaupun dua minggu sebelum pertengahan bulan, kita telah mencatat lebih daripada 3,000 kes.

“Sekiranya ini berlanjutan, pada akhir Mei, kita mungkin mencatat 6,000 hingga 7,000 kes setiap hari,” kata Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya di Kementerian Kesihatan hari ini.

Noor Hisham berkata Malaysia tidak gagal dalam usaha menangani situasi Covid-19.

Katanya belum terlambat bagi negara untuk mengurangkan angka tersebut tetapi mendakwa ia hanya dapat dicapai dengan kerjasama semua rakyat Malaysia.

“Ada yang mendakwa kita telah gagal. Tidak. Kita tidak gagal tetapi pada masa sama kita tidak menang,” katanya.

Buat hari kedua berturut-turut, Malaysia mencatatkan lebih 4,000 kes hari ini.

4,519 kes baharu dan 25 kematian dilaporkan setakat tengah hari ini. – 8 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen