PAKISTAN hari ini memulakan larangan pergerakan selama sembilan hari mempengaruhi tempat pelancongan dalam usaha mencegah lonjakan kes Covid-19 semasa percutian hari raya Aidilfitri.
Sedang gelombang ketiga Covid-19 dan makin risau dengan krisis di negara jiran iaitu India, pemerintah telah mengenakan sekatan paling ketat sejak langkah sama pada April tahun lalu.
“Langkah-langkah ini diperlukan memandangkan keadaan sangat berbahaya dengan penyebaran virus mutasi yang menular,” kata menteri perancangan bandar Asad Umar melalui satu hantaran di Twitter.
Hari raya puasa, atau Aidilfitri, biasanya membuatkan orang ramai di seluruh negara dan tempat-tempat pelancongan penuh sesak.
Tahun lalu Pakistan mengalami peningkatan kes dalam beberapa minggu selepas perayaan tersebut.
Perniagaan, hotel dan restoran serta pasar dan taman awam akan ditutup, sementara pengangkutan awam antara daerah dan dalam bandar telah dihentikan.
Tentera telah dikerahkan memantau sekatan tersebut.
Walaupun begitu, masjid akan tetap dibuka. Pihak berkuasa bimbang penularan di tempat ibadat akan mengundang konfrontasi di republik Islam konservatif itu.
“Terdapat banyak keprihatinan mengenai reaksi balas daripada kumpulan agama,” kata Saeedullah Shah, seorang doktor dengan pasukan petugas Persatuan Perubatan Islam Pakistan Covid-19.
“Ini kerajaan yang sangat lemah,” katanya kepada AFP. “Semuanya tidak bersungguh-sungguh.”
Pakistan mencatatkan lebih 840,000 kes dan 18,500 kematian, tetapi dengan ujian terhad dan sektor kesihatan yang tidak stabil, banyak yang bimbang tahap sebenar penyakit ini jauh lebih buruk.
Wad Covid-19 di beberapa bandar sesak atau hampir mencapai kapasiti selama berminggu-minggu kerana varian virus yang lebih menular menyebabkan kes melonjak. – AFP, 8 Mei, 2021.
Komen