JUMLAH pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat Covid-19 mencatat jumlah tertinggi tertinggi iaitu 506 hari ini sejak bermulanya wabak ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Sementara itu seramai 295 memerlukan alat bantuan pernafasan, katanya menerusi Twitter.
Angka tweetnya berbeza dari 372 kes di ICU dikeluarkan dalam kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan hari ini kerana jumlah tinggi itu termasuk kes yang telah disahkan, berkemungkinan dan disyaki Covid-19.
Ini bermakna 134 orang sedang menunggu laporan makmal mengenai keadaan mereka.
Bagaimanapun kementerian menganggap kes berkemungkinan dan disyaki sebagai positif Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.
Noor Hisham berkata jumlah kes kritikal meningkat dalam dua minggu terakhir.
“Kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat sebanyak 44% berbanding tempoh dua minggu yang lepas di seluruh negara dan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan yang lebih tinggi.
“Sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70% dan ada yang mencecah lebih 90%,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Noor Hisham juga berkata bahawa beberapa hospital bukan Covid-19 kini merawat pesakit koronavirus yang memerlukan alat bantuan pernafasan kerana pesakit ini tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan ICU
“Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa,” katanya.
Bimbang dengan peningkatan jumlah kes harian Noor Hisham berkata belum ada sebarang tanda menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat.
Beliau juga menyatakan keprihatinan tentang kemungkinan lebih banyak jangkitan dan pesakit di hospital menjelang musim perayaan Hari Raya minggu depan.
Beliau menyeru orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mendaftar untuk vaksinasi Covid-19.
Terdapat 4,498 jangkitan baharu hari ini, pertama kali lebih 4,000 kes harian sejak 4 Februari yang mencatatkan 4,571 kes. – 7 Mei, 2021.
Komen