MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan untuk menangguhkan pewartaan 949 nama anggota tentera dan pasangan dalam daftar pemilih bagi suku tahun ketiga tahun lalu.
Hakim Azizah Nawawi turut memberi kebenaran agar rayuan pengundi tersebut berhubung penambahan nama tersebut didengar di mahkamah.
Pengurusan kes ditetapkan pada 16 Januari.
Azizah turut menolak bantahan awal oleh Peguam Negara terhadap semakan kehakiman yang dikemukakan oleh 48 pemohon dari Segamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol Tan Hong Pin berkata ini merupakan kemenangan kecil buat rakyat dan berharap prosiding seterusnya akan membawa lebih banyak kejayaan.
Turut hadir ialah Adun Jementah (DAP) Tan Chen Choon.
Minggu lalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan 48 pengundi Segamat untuk mengeluarkan 949 anggota tentera dan pasangan masing-masing sebagai pengundi baru di kawasan parlimen itu.
Bagaimanapun, peguam Gobind Singh yang mewakili 48 pengundi terbabit berhujah bahawa terdapat keadaan luar biasa di dalam kes ini yang mengkehendaki mereka mengemukakan aduan ke mahkamah.
Gobind berkata aduan pengundi itu sah dan mereka tidak diberi hak untuk didengar.
Kem tentera itu dijangka siap pada April.
Kumpulan pengundi yang diketuai oleh Abdul Wahab Hassan terbabit pada bulan lalu telah memohon supaya nama-nama 949 anggota tentera bersama pasangan mereka dibatalkan sebagai pengundi baru di kem tentera yang belum siap itu.
Mereka memohon perintah mahkamah supaya tindakan untuk memasukkan pengundi tentera itu tidak mengikut Perlembagaan, memandangkan anggota tentera dan keluarga mereka tidak menetap di situ.
Dalam afidavit bagi menyokong permohonan mereka, pengundi mendakwa penyertaan nama-nama di daftar pemilih Segamat tidak sah kerana ia melanggar Peraturan 119 Perlembagaan Persekutuan.
Mereka berkata banyak penyelewengan ditemui semasa siasatan awam ketika SPR menjalankan perbicaraan terbuka antara 4 Disember dan 10 Disember tahun lalu. Bagaimanapun, pendaftar mengenepikan aduan mereka selepas siasatan.
Kawasan itu diwakili Presiden MIC Dr S. Subramaniam yang menewaskan Dr Chua Jui Meng dari PKR dengan majoriti hanya 1,217 undi dalam pilihan raya umum ke-13. – 8 Januari, 2018.
Komen