TIGA kampung di Bunut Susu di Pasir Mas, Kelantan akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 9 Mei selepas melaporkan peningkatan mendadak kes positif Covid-19, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Pertahanan itu berkata ketiga-tiga kampung itu adalah Kampung Paya Ular, Kampung Talang dan Kampung Bechah Palas.
Tambahnya keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan agar memudahkan pengesanan awal selain mengelakkan penularan ke kampung-kampung berdekatan yang lain.
“Pada masa ini, 120 kes positif telah dilaporkan di tiga kampung, 42 kes di Kampung Paya Ular, Kampung Talang (26) dan Kampung Bechah Palas (52).
“PKPD akan berkuatkuasa dari 9 Mei hingga 22 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.
Ismail Sabri berkata kerajaan juga memutuskan untuk menamatkan PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan hari ini memandangkan kluster itu sudah terkawal.
Pada mulanya ia dijadualkan berakhir pada 16 Mei.
PKPD di dua kawasan lain di Sekolah Menengah Sains Banting di Kuala Langat, Selangor dan Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah juga tamat hari ini. – 7 Mei, 2021.
Komen